KUALA LUMPUR – Barangkali ramai yang tidak menyedari, bekas isteri penyanyi Aliff Aziz selain berbakat sebagai pelakon, dia juga mempunyai bakat dalam bidang nyanyian.

Malah, Bella Astillah pernah merakam album dengan menyanyikan koleksi lagu kanak-kanak seperti Bangau Oh bangau, Tom Tom Bak, Air Pasang Dalam dan sebagainya bersama adiknya yang juga penyanyi, Didi Astillah.

Melalui album itu Bella dan adiknya dikenali sebagai Adik-Adik Mutiara. Bermula dari situ, bakat Bella mula berkembang.

Malah, kali terakhir Bella atau nama sebenarnya Dayang Nabellah Awang Astillah merakamkan lagu pada usia 12 tahun menerusi lagu tema Diara Ramadan Rafique.

Selepas sekian lama, Bella yang juga pelakon Cinta Belum Tamat Tempoh kembali ke studio rakaman dengan merakamkan lagu Tenang hasil ciptaan Audi Mok terbitan dan edaran Universal Music yang bakal dilancarkan esok.

Bella pernah muncul dengan album kanak-kanak sebelum ini.

Berkongsi lanjut mengenai lagu itu, Bella yang juga ibu tunggal beranak satu berkata, Tenang bukanlah mengenai kisah hidupnya 100 peratus.

“Saya percaya setiap individu menginginkan kehidupan yang baik. Bagi saya, apabila kita sentiasa positif, insya-Allah mudah untuk berasa tenang. Dari situ, saya dan komposer mendapat sedikit inspirasi untuk lirik lagu Tenang.

“Lirik lagu ini tidak sepenuhnya mengenai perjalanan hidup saya, tapi lebih kepada ingin berkongsi perasaan positif untuk sentiasa bersangka baik dengan ujian dan jangan putus asa,” katanya.

Bella berkata, walaupun sudah lama meninggalkan dunia rakaman suara, pengalaman merakamkan Tenang sesuatu yang mengujakan.

Apatah lagi dia dibantu komposer hebat dan berpengalaman sekali gus memudahkan proses itu.

lagu Tenang hasil ciptaan Audi Mok terbitan dan edaran Universal Music.

“Proses merakamkan lagu Tenang sangat tenang. Di mana segalanya dipermudahkan. Alhamdulillah, dengan bantuan Audi Mok sendiri membuatkan saya lebih selesa dan sangat mudah.

“Kami saling mendengar pendapat masing-masing. Itu yang memudahkan lagi proses rakaman lagu ini. Begitu juga ketika proses memperdengarkan melodi lagu. Audi sangat memahami dan kreatif,” kata wanita berusia 26 tahun itu.

Ditanya alasan utama dia merakamkan lagu itu, Bella berkata, ia bagi memenuhi keinginan dan permintaan peminat.

“Saya sering melakukan ‘cover’ lagu dan ramai yang menginginkan untuk saya mempunyai lagu sendiri.

“Lagu terakhir yang dirakam adalah Diari Ramadhan Rafique dan itu pun sewaktu saya berusia 12 tahun.

“Disebabkan itu saya fikir adalah lebih baik saya ada lagu sendiri sebagai hadiah kepada pendengar setia ‘cover’ saya di media sosial,” katanya.

Lagu Tenang akan dilancarkan secara rasmi di semua pelantar digital.

Walaupun kehadirannya bukan untuk bersaing dengan mana-mana penyanyi profesional sedia ada, Bella mengakui dia mahukan yang terbaik buat lagu itu.

“Saya percaya pihak Universal Music lebih tahu mengenai apa yang terbaik untuk lagu ini.

“Namun, saya tidak pernah meletakkan harapan tinggi dengan niat untuk lagu ini meletup. Tapi, sudah semestinya saya menginginkan yang terbaik. Kalau ada rezeki untuk mana-mana pertandingan saya tidak menolak.

“Malah, saya juga percaya semua penyanyi berharap lagu mereka dapat diterima pendengar dengan baik dan positif. Doakan semoga lagu ini dipermudahkan,” katanya.

Lagu Tenang akan dilancarkan secara rasmi di semua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer. Joox dan juga Apple Music bermula esok.

Video muzik pula akan dilancarkan di saluran YouTube Universal Music Malaysia hari sama pukul 3 petang. – MalaysiaGazette.

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.