Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid semasa mengadakan lawatan pusat pengumpulan dan pengagihan makanan bagi Program Food Bank Malaysia di Warehouse Yayasan Food Bank Malaysia, Kajang. foto AFFAN FAUZI, 26 MAC 2020

KAJANG – Putrajaya dijangka menerima kit untuk ujian saringan Covid-19 daripada Emiriyah Arab Bersatu (UAE), tidak lama lagi.

Sebagai balasan terima kasih, Malaysia akan menghantar makanan dalam tin dan gula kepada negara itu.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid berkata, sumbangan kit tersebut dimaklumkan dalam mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

“Kita ada membuat penghantaran sebagai tanda terima kasih kepada UAE yang menderma kepada Malaysia kit ujian Covid-19 dengan menghantar keperluan makanan seperti 8 tan gula dan makanan dalam tin,” katanya dalam sidang media selepas melawat ke Pusat Pengumpulan dan Pengagihan Makanan di Yayasan Food Bank di Bukit Angkat, hari ini.

Menurutnya, makanan dalam tin adalah keutamaan UAE tetapi Malaysia menambah dengan pemberian gula.

Rosol berkata, sumbangan kit ujian itu dapat menyelesaikan masalah Malaysia yang mengalami kekurangan bekalan peralatan tersebut.

“Kit ujian akan diterima dalam minggu ini, tapi jumlah tidak dinyatakan,” katanya. -MalaysiaGazette