KUALA LUMPUR – Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) menerbitkan tranche kedua Sukuk Murabahah Subordinat bernilai RM400 juta.

Sukuk ini merupakan Sukuk Subordinat pertama yang diterbitkan oleh institusi perbankan Islam di Malaysia untuk tahun 2020 adalah dikategorikan sebagai modal kawal selia Aras 2 Bank Islam dalam mematuhi Rangka Kerja Kecukupan Modal (Komponen Modal) bagi Institusi Perbankan Islam oleh Bank Negara Malaysia.

Penerbitan Sukuk ini akan meningkatkan kecukupan modal Bank Islam, sejajar dengan keperluan Basel III.

Sukuk ini yang akan ditebus balik pada nilai nominal penuh setelah tempoh matang, dengan pilihan pembelian pada tahun kelima terbitannya. Ia juga menerima penarafan A1/stabil oleh RAM Rating Services Berhad.

Program Sukuk Murabahah Bank Islam ini telah dikemukakan kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia pada 6 September 2018 dan di bawah program tersebut, Bank Islam diberi kelonggaran untuk menerbitkan Sukuk Murabahah Subordinat dan/atau Sukuk Murabahah Kanan dalam tempoh terlibat.

RAM Ratings telah mengesah semula penarafan jangka panjang terakhir A1/stabil dan AA3/stabil kepada Sukuk Murabahah Subordinat dan Sukuk Murabahah Kanan, masing-masing di bawah Program Sukuk Murabahah ini.

Bank Islam juga merupakan Penasihat Utama, Penyusun Utama, Ketua Pengurus dan Penasihat Syariah bagi Program Sukuk Murabahah tersebut.

Program Sukuk Murabahah RM10 billion ini merupakan program Sukuk kedua yang diperkenalkan oleh Bank Islam. Tranche pertama di bawah program ini telah diterbitkan pada 7 November 2019 berjumlah RM 300 juta.

Pada Oktober 2014, Bank Islam telah mendapat kelulusan daripada Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti untuk memperkenalkan Program Sukuk pertamanya dalam bentuk Program Sukuk Murabahah Subordinat bernilai RM1 bilion. Sejumlah tiga tranche telah diterbitkan di bawah program sulung tersebut.

Tranche pertama berjumlah RM300 juta diterbitkan pada April 2015, manakala tranche kedua yang berjumlah RM400 juta diterbitkan pada Disember 2015. Tranche ketiga bernilai RM300 juta telah diterbitkan pada November 2017. – MalaysiaGazette