WASHINGTON – Kematian akibat koronavirus di Amerika Syarikat (AS) dijangka boleh mencecah 200,000 dengan berjuta-juta kes, kata Dr Anthony Fauci, Pengarah Institut Alergi dan Penyakit Berjangkit Kebangsaan.

Sejak 2010 pandemik selesema telah membunuh antara 12,000 dan 61,000 orang Amerika setahun, menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS.

New York, New Orleans dan beberapa bandar utama AS telah merayu untuk mendapatkan bekalan perubatan.

Kes kematian Covid-19 di AS berjumlah 2,400 kes sehingga semalam selepas kematian yang direkodkan pada hari sebelumnya dua kali ganda.

AS kini merekodkan lebih 137,000 kes tersebut.

Sementara itu di New York, yang tidak pernah sunyi kini hanya kedengaran bunyi siren ambulans.

Bandar ini merekodkan hampir 60,000 kes dengan jumlah kematian 965, naik 237 kes dalam tempoh 24 jam dengan seorang meninggal dunia dalam tempoh enam minit.

Gabenor New York, Andrew Cuomo meminta penduduk bandar itu supaya tidak meninggalkan rumah kecuali ada urusan penting.

Sementara itu, Gabenor Maryland, Larry Hogan berkata, seorang lelaki ditahan kerana melanggar larangan perhimpunan selepas mengadakan parti dengan menjemput 60 orang tetamu. – MalaysiaGazette