Foto Instagram Bront Palarae.

KUALA LUMPUR – Pelakon Bront Palarae  menyelar tindakan Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) membuat laporan polis terhadap seorang selebriti yang didakwa membuat video berunsur hasutan dan juga kecaman terhadap industri seni negara ini.

Jelas Bront di laman Twitter miliknya, masalah industri sebenarnya boleh  diselesaikan secara dalaman sahaja.

Dia turut meminta agar pihak persatuan tidak membebankan polis dengan isu sebegini kerana banyak lagi perkara penting yang perlu ditangani oleh pihak berkuasa itu pada ketika ini.

Perkongsian Bront itu turut mendapat sokongan daripada netizen yang menyifatkan tindakan SENIMAN itu tidak wajar dan memalukan kerana ada perkara lebih penting lagi yang boleh diberi tumpuan.

Ini kerana pihak polis yang juga selaku barisan hadapan banyak perkara lebih penting perlu mereka laksanakan ketika negara dilanda wabak Covid-19.

Semalam, SENIMAN juga turut meminta agar lebih ramai artis serta penggiat seni untuk membuat laporan polis dan Suruhanjaya Multimedia Malaysia terhadap artis berkenaan.

Walaupun tidak menyatakan nama selebriti berkenaan, rata-rata netizen membuat andaian bahawa laporan polis itu dibuat terhadap pelakon Zarina Anjoulie. – MalaysiaGazette