KUALA LUMPUR – Kerajaan China berteruskan menghulurkan sumbangan serta bantuan kepada rakyat Malaysia berikutan penularan wabak Covid-19.

Hari ini, Kedutaan China di Malaysia menyumbang 300 topeng muka kepada MalaysiaGazette untuk digunakan kakitangannya ketika membuat liputan berita.

Jurucakap yang juga Setiausaha ke-3 bahagian Media dan Komunikasi kedutaan itu, Chen Xin berkata, pihaknya menghargai peranan MalaysiaGazette yang turut membantu menangani penularan Covid-19.

“Kami berterima kasih dengan MalaysiaGazette kerana turut bersama-sama turun lapangan membantu membuat laporan tanpa mengira risiko. Kedutaan China sangat menghargai jasa para media di negara ini.

“Kita juga telah dan akan menyampaikan lebih banyak sumbangan kepada, sekurang-kurangnya 20 media lain di sini bagi menghargai peranan mereka dalam negara ini lebih-lebih lagi dalam memerangi Covid-19 dengan menyampaikan berita serta laporan pada setiap masa.

“Saya tidak dapat berikan angka yang tepat tetapi sudah lebih sejuta kita berikan seperti topeng muka dan kit keselamatan bukan hanya kepada media sahaja, sebaliknya pasukan petugas barisan hadapan lain juga,” katanya ketika ditemui di Kedutaan China hari ini.

Duta Besar China ke Malaysia, Bai Tian dan Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pada acara simbolik penyerahan peralatan perubatan Covid-19. Turut hadir Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah dan Ketua Pengarah NADMA Datuk Mohtar Abdul Rahman di Wisma Putra, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 28 MAC 2020.

Sebelum ini, Duta Besar China ke Malaysia, Bai Tian berkata, negaranya sangat terkesan dengan penderitaan rakyat serta kerajaan dalam menangani Covid-19.

“Hakikatnya kami terasa dengan begitu mendalam apa yang anda sedang lalui ketika ini. Inilah perasaan yang kami lalui dengan penuh ketakutan apatah lagi melibatkan kehilangan nyawa dengan begitu banyak untuk tempoh dua bulan.

“Pada masa ini, Covid-19 ini bukan sahaja masalah kepada satu negara sebaliknya seluruh dunia, apa lagi ianya kini sedang meragut nyawa rakyat di negara ini. Malaysia adalah negara jiran yang begitu dekat di hati kami selama ini.

“Kerajaan dan rakyat di China tidak akan sesekali lupa dengan Malaysia yang banyak membantu kami juga pada masa-sama susah dan ‘gelap’. Kini sebagai sahabat, kami akan membalas balik jasa anda sekelian dengan bersama-sama memerangi wabak ini,” ujar Bai Tian pada Sabtu lepas. –MalaysiaGazette

China berkongsi duka rakyat Malaysia, komited bersama perangi Covid-19