Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Nik Ezanee Mohd Faisal bercakap kepada media ketika memantau sekatan jalan raya OPS Covid-19 berikutan Perintah Kawalan Pergerakan susulan penularan wabak Covid-19 di Persiaran Surian, Petaling Jaya. foto AFIQ RAZALI, 31 MAC 2020

KUALA LUMPUR – Polis selesai mengambil keterangan daripada lapan individu dalam kes kehilangan wang berjumlah RM250,000 di kediaman bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Kampung Tunku, Petaling Jaya.

Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal mengesahkan perkara itu berkata, kesemua individu berkenaan telah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya semalam.

“Lapan  individu (diambil keterangan) termasuk YB (Syed Saddiq),” katanya kepada MalaysiaGazette.

Semalam Nik Ezanee berkata, enam individu telah dikenalpasti dan akan tampil untuk dirakam keterangan polis.

Sebelum itu beliau mengesahkan laporan polis mengenai kehilangan wang tersebut daripada Syed Saddiq pada hari kejadian, 29 Mac lalu.

Kertas siasatan telah dibuka dan disiasat dibawah Seksyen 308 Kanun Keseksaan.

Seorang wanita warga negara Indonesia telah ditahan bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette