Anggota Bomba dan Anggota Rescue Bencana Malaysia (RBM) menjalani proses dekontaminasi selepas selesai kerja-kerja pembersihan dan disinfeksi bagi membendung penularan pandemik Covid-19 pada fasa dua Perintah Kawalan Pergerakan di Kompleks Hentian Bas, Jalan Reko, Kajang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 02 APRIL 2020.

KAJANG – Beberapa premis di sekitar Kajang menjalani operasi nyahkuman hari ini bagi mengurangkan impak penularan wabak Covid-19 selepas dikategorikan sebagai zon merah.

Kawasan seperti Hentian Kajang, Lembaga Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Kajang dan beberapa laluan utama di sepanjang jalan masuk kawasan itu turut dilakukan proses disinfeksi.

Proses yang dijalankan bermula jam 10.30 pagi oleh kira-kira 77 anggota termasuk dari 31 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, 11 anggotan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan sembilan pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Anggota Bomba dan Anggota Rescue Bencana Malaysia (RBM) menjalani proses dekontaminasi selepas selesai kerja-kerja pembersihan dan disinfeksi bagi membendung penularan pandemik Covid-19 pada fasa dua Perintah Kawalan Pergerakan di Kompleks Hentian Bas, Jalan Reko, Kajang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 02 APRIL 2020.

Turut serta adalah tiga pekerja Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), 11 pekerja Alam Flora, seorang anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), tiga pegawai Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat, enam anggota Pasukan Bomba Sukarela, dan dua pegawai Jabatan Penerangan Daerah Hulu Langat.

Proses disinfeksi itu menggunakan teknik semburan di permukaan yang dikhuatiri boleh menyebabkan penyebaran wabak Covid-19 melalui sentuhan objek antaranya besi pemegang, tombol pintu, pam tandas serta meja dan kerusi.

Proses disinfeksi secara rapi dilakukan kesemua yang terlibat dari platform ke platform bagi membunuh kuman Covid-19 turut giat dijalankan.

Petugas Alam Flora melakukan kerja-kerja pembersihan dan disinfeksi bagi membendung penularan pandemik Covid-19 pada fasa dua Perintah Kawalan Pergerakan di Kompleks Hentian Bas, Jalan Reko, Kajang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 02 APRIL 2020.

Kerja-kerja nyahkuman selesai satu jam kemudian.

Untuk rekod, Hentian Kajang merupakan kawasan ketiga di Hulu Langat yang telah dilakukan proses disinfeksi selepas Sungai Ramal dan kawasan Sungai Lui pada pada Selasa lalu.

Ketiga-tiga kawasan ini merupakan kawasan zon merah Covid-19. -MalaysiaGazette