Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.

PUTRAJAYA – Bazar Ramadan yang dianjurkan setiap tahun dilihat tidak lagi boleh dijadikan tradisi tahun ini susulan penyebaran wabak Covid-19 kerana dikhuatiri tidak membantu untuk memutuskan rantaian virus itu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, amalan pembelian makanan dalam talian sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) boleh diteruskan dalam bulan puasa dengan memperkenalkan E-Bazar Ramadan.

“Dari segi bazar Ramadan, mungkin kita perlu mengadakan idea-idea yang kreatif dan Inovasi. Dalam tempoh fasa pertama PKP, kita telah lihat peningkatan 70 peratus penghantaran makanan ke rumah, iaitu Grab Food.

“Mungkin kita boleh uar-uarkan e-Bazar Ramadan di mana makanan boleh dihantar terus ke rumah,” katanya pada sidang media hariannya hari ini.

Beliau mengulas cadangan kerajaan Selangor yang membatalkan pelaksanaan Bazar Ramadan pada tahun ini susulan penularan wabak Covid-19.

Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan di Selangor pada Rabu lalu.

Amiruddin juga tidak menolak kemungkinan untuk melaksanakan cadangan E-Bazar Ramadan di dalam talian bagi menggantikan kaedah konvensional sebelum ini.

Noor Hisham menegaskan, walaupun tempoh PKP Fasa Kedua mungkin akan tamat pada 14 April ini namun amalan kebersihan rakyat di negara ini sudah berubah.

“Kita sudah tak bersalam, kita kerap membasuh tangan dan kita juga ada penjarakan sosial yang selamat sekurang-kurangnya satu meter. Amalan perhimpunan contohnya enam bulan ataupun setahun kita akan lihat, tak menggalakkan langsung perhimpunan yang ramai.

“Ini kita lihat jatuh atau mengikut garis panduan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu mengelakkan daripada perhimpunan yang ramai,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Boleh mati ke jika tak ada bazaar ramadhan?…Hingga menjadi topik utama perbincangan taraf menteri? Apakah ini sebahagian drpd tuntutan Islam atau Ramadhan itu sendiri?

Comments are closed.