Pasukan keselamatan melakukan siasatan di perkarangan kedai tembakau selepas berlaku serangan oleh seorang lelaki Sudan. foto Agensi

PARIS – Dua orang terbunuh dan lima lagi cedera diserang dengan pisau di tenggara Perancis, yang disifatkan sebagai insiden pengganas.

Beberapa saksi memaklumkan penyerang memasuki sebuah kedai tembakau di bandar Romans-sur-Isère, berhampiran Grenoble lalu menikam pemilik dan pelanggan.

Dia kemudian pergi ke kedai daging yang terletak berhampiran dan menyerang lebih ramai orang.

Seorang suspek, yang digambarkan dalam media Perancis seorang lelaki berusia 33 tahun dari Sudan berjaya ditahan.

Lelaki itu tidak pernah diketahui identitinya oleh polis atau perkhidmatan perisikan, menurut laman berita France Bleu.

Menteri Dalam Negeri, Christophe Castaner berkata, tertuduh sedang melakukan keganasan dan Pejabat Pendakwa Raya Counter Terrorism Kebangsaan sedang menyiasat sama ada dia bertindak seorang diri.

Dua daripada mangsa yang cedera dilaporkan dalam keadaan kritikal.

Perancis kini melaksanakan sekatan pergerakan susulan pandemik koronavirus.

Rakyat negara ini hanya dibenarkan keluar untuk membeli keperluan harian dan bersenam.

Perancis berada dalam radar amaran tinggi sejak tahun 2015 susulan beberapa siri serangan oleh IS. – MalaysiaGazette