Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersiap sedia membuat kerja disinfeksi pada Ops Sanitasi Awam susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berikutan penularan wabak Covid-19 di sekitar kawasan Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor.foto FAREEZ FADZIL, 08 APRIL 2020

HULU LANGAT – Ops Sanitasi Awam yang dilakukan oleh agensi-agensi penguatkuasa di sekitar kawasan Batu 20 dan Batu 24, Sungai Lui di sini tamat pada pukul 1.30 petang tadi.

Operasi yang berlangsung lebih empat jam itu berjalan dengan lancar tanpa ada sebarang rintangan.

Jurucakap Jabatan Penerangan Daerah Hulu Langat memaklumkan, penduduk di kawasan terlibat memberikan kerjasama yang baik sepanjang proses sanitasi diadakan.

Katanya, proses nyah cemar yang dibuat hari ini merangkumi kawasan seluas 7.5 kilometer persegi.

“Ops nyah cemar di sini dilakukan hari ini sahaja dan selepas itu akan bertukar ke lokasi lain.

“Makluman mengenai perkara tersebut akan disampaikan menerusi Facebook Pusat Maklumat Rakyat Jabatan Penerangan Daerah Hulu Langat dan penduduk di daerah ini perlu merujuk di laman sosial berkenaan,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini.

Ketika ini, anggota pasukan penguatkuasa yang terlibat bersiap-siap membersihkan diri sebelum menerima arahan selanjutnya daripada ketua masing-masing.

Ops Sanitasi Awam yang bermula pukul 8.30 pagi tadi dilakukan di kawasan berkenaan dalam usaha membendung penyebaran wabak Covid-19.

Antara agensi yang terlibat dalam operasi tersebut iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Penerangan Malaysia.

Seramai 63 petugas daripada agensi berkenaan dikerahkan dengan dibahagi kepada beberapa pecahan dan masing-masing bergerak mengikut kumpulan.

Operasi nyah cemar turut dilakukan di Kampung Jawa yang jaraknya lebih kurang lima kilometer dari operasi sebenar.

Hulu Langat merupakan antara kawasan yang diisytiharkan zon merah penularan Covid-19 dengan merekodkan 345 kes setakat 12 tengahari semalam. – MalaysiaGazette