Dr. Asyraf Wajdi
Dr. Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO terkilan dengan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) kerana tiada moratorium untuk pembayaran balik ansuran bulanan pembiayaan perumahan bagi sektor awam.

Ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, alasan kakitangan awam menerima gaji penuh dan pencen adalah tidak munasabah.

Beliau berharap, Menteri Kabinet dapat mempertimbangkan sekali lagi keputusan berkenaan berasaskan beberapa faktor yang berlaku.

Antaranya, kata beliau, apabila kerajaan dapat meyakinkan institusi perbankan tempatan untuk memberikan moratorium kepada peminjam selama enam bulan, wajar juga LPPSA melakukan tindakan sama kepada 1.7 juta kakitangan awam.

“Dengan unjuran KDNK yang dijangka negatif oleh IMF dan Bank Dunia, tindakan paling efektif untuk merangsang semula ekonomi negara ketika ini ialah dengan merancakkan kembali kitaran wang.

“Caranya, iaitu membolehkan rakyat mempunyai lebihan tunai di tangan untuk berbelanja dan ini yang diamalkan oleh banyak negara Eropah penularan wabak Covid-19 ini,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

LPPSA dalam notisnya hari ini, memaklumkan tiada penangguhan atau moratorium pembayaran balik ansuran bulanan pembiayaan perumahan agensi itu.

Kata kenyataan itu, kerajaan menyediakan kemudahan pembiayaan perumahan LPPSA yang disubsidikan pada kadar faedah 4 peratus, lebih rendah berbanding kadar pembiayaan ditawarkan mana-mana institusi perbankan tempatan.

Justeru, LPPSA bertanggungjawab memastikan kelangsungan dan sumber kewangannya kekal utuh demi memastikan manfaat pembiayaan perumahan dapat terus disediakan kepada penjawat awam sedia ada dan yang akan datang.

Menurut Dr. Asyraf, jika LPPSA mengatakan perlu menanggung RM5 bilion untuk menampung tiga hingga enam bulan moratorium, nilai itu sebenarnya sama kalau diandaikan berada dalam tangan penjawat awam untuk berbelanja.

Katanya, kerajaan perlu mengambil kira kebanyakan penjawat awam dari kalangan M40 dan B40, secara teorinya ekonomi mereka biasanya tidak menyimpan, tetapi berbelanja.

Ini penting supaya kitaran tunai dapat kembali dirancakkan untuk merangsang ekonomi.

Beliau turut menyatakan, ramai di kalangan penjawat awam terkesan dengan penularan Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Sebelum PKP, kebanyakan mereka ada melakukan kerja tambahan untuk memperoleh pendapatan tambahan bagi menampung kos sara hidup keluarga.

“Bagaimanapun, dengan pelaksanaan PKP, pendapatan mereka terjejas, malah ramai pasangan juga tidak dapat bekerja dan mencari rezeki tambahan akibat Covid-19 dan PKP,” katanya.

Oleh itu, beliau minta jasa baik Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan menilai semula keputusan itu, sekali gus menyantuni hasrat rakyat di kalangan penjawat awam yang banyak jasanya kepada negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast