Pakar Perunding Kanan Perubatan Dalaman Hospital Pakar KPJ Perlis (KPJ) Perlis, Dr. Nurazam Omar.

ARAU – Sesungguhnya kita benar-benar sedang diuji dengan gelombang pandemik virus
Covid-19 yang saiznya kira-kira 125 nanometer sahaja.

Malah, mengikut agensi berita antarabangsa yang merujuk data Universiti John
Hopkins, New York, Amerika Syarikat, lebih sejuta kes berkaitan Covid-19 telah
didaftarkan di seluruh dunia, setakat Jumaat, 3 April lalu.

Impaknya, hampir 53,000 individu dilaporkan meninggal dunia yang realitinya melebihi
penduduk negara Saint Kitts and Nevis yang terletak di Hindia Barat.

Kesan berantai Covid-19 kini merebak di lebih 200 negara turut memberikan impak
ekonomi, politik dan sosial yang mungkin mengambil masa bertahun-tahun sebelum
pulih.

Hakikatnya, tanggungjawab wajib sesebuah negara perlu benar-benar memastikan
keselamatan, kesihatan dan keperluan asas setiap rakyat terjaga dan dipenuhi dengan
sempurna iaitu sebelum, semasa dan selepas pandemik itu.

Sebenarnya, terdapat beberapa mekanisme yang boleh dilaksanakan negara ini bagi
menangani pandemik Covid-19 iaitu menerusi penghasilan vaksin, imuniti berkelompok
dan penjarakan sosial atau lebih dikenali social distancing  dan ada juga juga pakar perubatan yang menggunakan istilah physical distancing.

Mengulas lanjut, Pakar Perunding Kanan Perubatan Dalaman Hospital Pakar KPJ Perlis
(KPJ) Perlis, Dr. Nurazam Omar berkata, pakar-pakar perubatan di seluruh dunia
berpendapat, terdapat beberapa mekanisme terbaik bagi membendung penularan
Covid-19.

“Langkah pertama ialah menerusi penghasilan vaksin yang seterusnya akan
membentuk herd immunity (imuniti berkelompok). Imuniti berkelompok bermaksud ejen infektif (atau jangkitan) tidak dapat memasuki atau menyebarkan dalam kalangan sesuatu kelompok masyarakat kerana sebahagian besar anggota masyarakat itu mempunyai imuniti dan terlindung daripada penyebab penyakit tersebut.

“Cara terbaik mencapai imuniti berkelompok ini ialah melalui tindakan vaksinasi. Namun setakat ini, vaksin bagi menangani Covid-19 masih diuji sebelum ianya disahkan selamat untuk disuntik kepada orang awam yang sihat selain masih menjalani di peringkat ujian klinikal fasa pertama yang tempohnya bergantung 12 hingga 18 bulan,” katanya ketika ditemui di KPJ Perlis baru-baru ini.

Katanya lagi, selain penggunaan vaksin, imuniti berkelompok boleh dicapai secara
semulajadi apabila seseorang dan populasi terdedah kepada virus.

“Tetapi, impaknya ialah kadar penularan yang cepat, boleh membawa maut dan
kapasiti perkhidmatan kesihatan yang terhad boleh menyebabkan lebih ramai pesakit
Covid-19 diasingkan di hospital.

“Sekiranya perkara ini terjadi, perkhidmatan hospital untuk kes-kes selain Covid-19
seperti pembedahan serta kecemasan dikhuatiri tidak dirawat secara efektif kerana
fasiliti kesihatan termasuk warga kerja dimaksimumkan bagi menangani pesakit virus
itu.

“Secara logik, imuniti berkelompok sesuai untuk mengekang penyakit berjangkit
namun hanya boleh dicapai dengan adanya sumber vaksin. Tanpa vaksin ia terhasil
tetapi risikonya pesakit termasuk mereka yang tidak dijangkiti Covid-19 turut
terkorban,” katanya.

Dalam pada itu, Nurazam berkata, mekanisme ketiga ialah menyaring dan
mengasingkan pesakit dan kontak rapat Covid-19.

“Mutakhir ini, hanya kaedah ujian makmal Conventional RT-PCR (Reverse
Transcription Polymerase Chain Reaction) yang diakui oleh Pertubuhan Kesihatan
Sedunia (WHO) sahaja yang dibenarkan digunakan di negara ini untuk mengesan
penyakit Covid-19.

“Percayalah, tanpa penjarakan sosial pengesanan secara berkesan mereka yang
dijangkiti Covid-19 amat rumit. Sebagai contoh, Encik A yang sihat pergi ke tempat kerja dengan menaiki bas. Di dalam kenderaan pengangkutan itu, dia telah dijangkiti Covid-19.

“Namun, hanya kerana mempunyai gejala yang ringan iaitu demam dan batuk, Encik A masih pergi bekerja seperti biasa.

“Dalam masa yang sama, Encik A juga melakukan aktiviti riadah di taman selain
menghadiri majlis keramaian di kampung tercintanya. Anda boleh bayangkan berapa
ramai yang telah terdedah atau berisiko untuk dijangkiti Covid-19.

“Kerana tidak sihat, Encik A kemudiannya pergi ke klinik bagi mendapat rawatan
sebelum disahkan dijangkiti Covid-19. Natijahnya, bagaimana cara dan kaedahnya
mengesan kontak rapat dia. Malah, hanya tempoh dua minggu sahaja ratusan atau
ribuan manusia berpotensi dijangkiti virus itu,” kata Nurazam.

Ujarnya lagi, tujuan utama penjarakan sosial ialah memberhentikan atau memperlahankan penularan wabak menerusi cara mengurangkan kontak fizikal antara
golongan yang berisiko dijangkiti sekaligus membantu petugas kesihatan untuk
mengesan kontak, menjalankan ujian dan seterusnya mengasingkan pesakit Covid-19
bagi mendapatkan rawatan secara intensif.

“Sebenarnya rakyat Malaysia adalah wirawan dan wirawati bagi mengekang penularan
Covid-19. Sekiranya anda tewas dalam mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)
pandemik ini akan terus membelenggu kita.

“Sebagai wira dan wirawati negara, anda perlu kekal sihat dengan mengamalkan
pemakanan seimbang, jangan ghairah mencuba makanan viral, lakukan aktiviti
kecergasan selain meluangkan masa berkualiti bersama keluarga.

“Kita jatuh dan bangkit sama-sama dengan perasaan dan pemikiran yang sama demi
negara tercinta ini. Kekalkan minda yang positif agar dengan sikap itu kita berjaya membasmi Covid-19. Datarkan graf itu. Anda mampu mengubahnya,” katanya.- MalaysiaGazette