Seperti kelaziman, perang akan memberi tekanan mental, fizikal dan juga spiritual kepada rakyat.- Gambar hiasan.

SEPERTI kata strategis dan tokoh revolusionari Vietnam, Ho Chi Minh, tiga faktor penting dalam menentukan sesuatu kejayaan (merangka strategi di medan tempur) apabila perkara-perkara ini memihak pada kita iaitu cuaca dan bentuk mukabumi, tetapi faktor yang maha penting ialah rakyat.

Perkara itu benar kerana dalam konteks ketika ini, rakyat yang bakal menentukan pematuhan terhadap langkah-langkah yang dikuatkuasakan oleh kerajaan dalam usaha membasmi penularan wabak koronavirus (Covid-19) berjaya.

Rakyat sekarang berhadapan dengan ‘darurat’ dan sedang berperang, bezanya bukan dengan musuh fizikal atau negara luar tetapi situasinya masih serupa.

Seperti kelaziman, perang akan memberi tekanan mental, fizikal dan juga spiritual kepada rakyat yang terkesan, manakala beban lebih berat sudah pasti dirasai oleh kerajaan dan pemimpin.

Kita telah melalui tempoh 24 hari yang cukup mendebarkan apabila berhadapan dengan musibah tidak terduga ini untuk akur terhadap arahan kerajaan menguatkuasakan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pada sudut lain pula, kita mula merasai apa yang telah dilalui oleh rakyat generasi terdahulu yang berhadapan dengan situasi serupa semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu selama tiga tahun lapan bulan atau kira-kira 1,320 hari.

Perintah berkurung semasa Darurat memerangi pengganas Parti Komunis Malaya (PKM) bulan berlangsung selama 12 tahun atau 4,320 hari.

Seperti dijangka, keputusan kerajaan untuk melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 28 April amatlah realistik setelah mengambil kira situasi semasa wabak Covid-19 di negara ini.

Ini kerana setelah melepasi fasa kedua PKP kita masih belum berjaya memutuskan rantaian wabak tersebut sepenuhnya, namun graf kes-kes baharu yang direkodkan mula mendatar.

Bermakna, masih ada 18 hari lagi untuk ditempuhi rakyat Malaysia. Tempoh lanjutan PKP ini juga merupakan masa terbaik untuk masyarakat mendisiplinkan diri dan mengubah tingkah laku.

Pelaksanaan PKP turut melibatkan kira-kira 7,500 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang dikerah bagi membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Ops Penawar untuk menguatkuasaan arahan berkenaan.

Kehadiran tentera memberi keyakinan kepada rakyat bahawa kerajaan benar-benar serius selain amat berharap penugasan tentera dapat menggerunkan mereka yang degil mematuhi PKP.

Bagaimana pun, ketegasan sahaja tidak berkesan secara total sekiranya masih ada yang memandang enteng arahan kerajaan selain bersikap mementingkan diri sendiri.

Sejak penguatkuasaan PKP, seramai 7,205 individu telah ditahan kerana mengingkari arahan ini, manakala pada Khamis lalu sahaja sebanyak 518 orang telah didakwa di mahkamah.

Sehingga 10 April, angka kematian akibat wabak Covid-19 di negara kita kini mencecah 70 orang dengan jumlah keseluruhan kes ialah 4,346 di mana 2,4466 pesakit masih dirawat. Kes sembuh pula sebanyak 1,830 termasuk 222 kes baharu.

Terdapat pertambahan kawasan zon merah yang merekodkan lebih 41 kes Covid-19 selain peningkatan kes baharu membabitkan kluster warga asi ng dan luar negara.
Putrajaya, Jasin dan Rembau kini dikategorikan sebagai kawasan zon merah penularan Covid-19 yang menjadikan jumlah keseluruhan zon merah sebanyak 21 kawasan berbanding sebelum ini 18 kawasan.

Kawasan zon merah lain adalah Petaling yang merekodkan 296 kes, Hulu Langat (324), Gombak (110), Klang (112), Seremban (162), Batu Pahat (47), Johor Bahru (145), Kluang (170), Jerantut (61), Kota Bharu (82), Hilir Perak (65), Kinta (87), Kuching (174) dan Tawau (67).

Ketika ini, strategi kerajaan juga lebih agresif apabila melaksanakan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Empat kawasan dikenakan PKPD iaitu dua kampung di Simpang Renggam dan Kluang di Johor, perkampungan di Sungai Lui, Hulu Langat (Selangor) serta kondominium Menara City One, flat Malaya Mansion dan Selangor Mansion (Kuala Lumpur).
Sebenarnya, apa sahaja langkah yang diambil oleh kerajaan haruslah disokong dan dilaksanakan rakyat tanpa soal.

Ini termasuklah menggembleng tenaga pihak-pihak yang berkelayakan misalnya universiti, badan bukan kerajaan, entiti dan komuniti bagi membantu pihak berkuasa termasuklah pakar-pakar perubatan swasta.

Pada masa sama, rakyat juga perlu membuat persediaan untuk melalui fasa yang lebih mencabar jika kerajaan terpaksa melanjutkan lagi PKP sekiranya tempoh dijalani ketika ini gagal memutuskan rantaian wabak Covid-19 secara total.

Memetik ucapan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menyampaikan perutusan khas mengenai lanjutan PKP di kaca televisyen semalam katanya, pertarungan negara ke atas Covid-19 belum pun berakhir dan ia masih dijalankan.

“Setakat ini, perkembangannya (negara kita) adalah baik, justeru seluruh rakyat Malaysia kekal bersemangat tinggi dan terus bertarung dengan virus tersebut.
”Sekiranya kita bertahan, InsyaAllah kita akan menang. Kita bertuah kerana rakyat Malaysia adalah insan yang berdisiplin dan patuh kepada undang-undang,” katanya.

Rakyat perlu buka mata untuk sama-sama menamatkan ‘perang’ ini.- MalaysiaGazette

Zaki Salleh merupakan penganalisis pertahanan dan telah menulis dalam bidang ini sejak 20 tahun lalu.