Shalia Ibrahim tekun menyiapkan tempahan pelanggan di kediaman di Kepong, Kuala Lumpur baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Lanjutan tempoh Perintah Kawal Pergerakan (PKP) sebenarnya memberi kelangsungan hidup kepada usahawan yang menjalankan perkhidmatan dalam talian dari rumah masing-masing.

Bagi salah seorang daripadanya, Shalia Ahmad Ibrahim, 32, dia banyak menjalankan perniagaan penjualan topeng muka buatan tangan sempena tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya sudah empat tahun saya menjalankan perkhidmatan menjahit barangan fabrik terutama aksesori bayi dan pakaian kanak-kanak cuma dalam tempoh PKP ini penghasilan pakaian dan aksesori bayi dan kanak-kanak agak perlahan dan menumpukan penghasilan topeng muka,” jelasnya ketika dihubungi di kediamannya di Kepong baru-baru ini.

Sebahagian produk dan tempahan pelanggan yang telah siap dijahit oleh Shalia di Kepong baru-baru ini.

Shalia yang menggunakan lebihan potongan kain terdahulu bagi menghasilkan pelindung muka itu dapat menghasilkan kira-kira 50 ke 80 unit sehari dan ia dijual antara RM10 hinggga RM20 bergantung kepada saiz dan corak kain.

Menurutnya, piawaian pembuatan itu merujuk kepada standard operasi prosedur penghasilan pengeluaran pelindung muka di pasaran dengan menggunakan tiga lapisan jenis fabrik.

Produk topeng muka corak komik untuk kanak-kanak keluaran Shalia.

“Saya turut dibantu suami dalam kerja-kerja pemotongan kain dan penyusunan tempahan pelanggan. Lagi pun produk ini mudah dibasuh. Ketika tempoh PKP ini inilah menjadi sebahagian daripada pendapatan kami sekeluarga,” jelasnya lagi.

Dalam yang sama, Shalia turut menyuarakan pandangan berhubung permintaan kepada pihak kerajaan agar kelonggaran premis aksesori jahitan dibuka bagi mendapatkan bekalan alat ganti dan perkakasan.- MalaysiaGazette