KUALA LUMPUR – Semua syarikat telekomunikasi diminta supaya berganding bahu membantu kerajaan dan rakyat dengan menyediakan akses internet tanpa had sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ini kerana, internet yang berkuasa tinggi amat diperlukan oleh seluruh lapisan masyarakat terutama pelajar sekolah dan universiti yang belajar secara atas talian di rumah.
Menurut Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd Azis Jamman, ketika inilah syarikat terbabit perlu melaksanakan tanggungjawab sosial mereka kepada pelanggan masing-masing.
“Saya merayu syarikat telekomunikasi memberi akses tanpa had sepanjang PKP ini sebagai kepada semua pelanggan perkhidmatan mereka yang berada di bandar dan luar bandar.
“Dengan tanggungjawab sosial korporat ini dapat menjayakan saranan kerajaan supaya rakyat berada di rumah sepanjang tempoh krisis kesihatan global ini dan dapat melayari tanpa had,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Beliau yang merupakan bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri menyatakan, pelanjutan tempoh PKP bagi fasa ketiga mulai 15 April ini akan menyaksikan berlaku permintaan dan penggunaan data internet melonjak tinggi berikutan kebanyakan urusan dan aktiviti kini dilakukan secara atas talian.
Katanya, penggunaan internet selama tempoh ini sudah menjadi keperluan masyarakat termasuk yang berada di luar bandar untuk berkomunikasi dan melakukan transaksi.
“Malah guru juga kini menganjurkan kelas secara atas talian, tetapi berdepan kesukaran mengakses kerana kebanyakan pelajar tinggal di luar bandar dan data pula tidak terhad.
“Sepanjang PKP ini, jangankan kemampuan untuk membeli data, kemampuan membeli makanan pun ada yang menghadapi kesukaran kerana ibu bapa putus mata pencarian,” katanya.
Mohd Azis turut menceritakan pengalamannya membangunkan sistem kajian dan bancian atas talian untuk berurusan dengan rakyat di kawasan ketika musim PKP ini.
Katanya, beliau menerima banyak rungutan berhubung ketiadaan akses data internet dan ketidakmampuan rakyatnya membeli data dari syarikat telekomunikasi.
“Sepanjang misi bantuan rakyat Sepanggar, ada rungutan dari segi kesulitan mereka mengakses internet untuk keperluan aktiviti harian di rumah, termasuk kesukaran mengakses sistem informasi bantuan dari Parlimen Sepanggar kepada rakyat.
“Ini disebabkan data internet yang terhad atau sukar mendapatkan nilai tambah data internet,” katanya. – MalaysiaGazette
















