Ning Baizura.

KUALA LUMPUR – Penyanyi, Ning Baizura menerima kecaman netizen gara-gara  tersalah menggunakan emoji (ikon) pada komen yang ditulis di salah satu hantaran di laman Instagram.

Menerusi akaun milik Intrend Malaysia, Ning membuat komen mengenai video memaparkan beberapa orang kanak-kanak ditahan polis kerana keluar bermain ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam.

Namun komen yang ditinggalkan Ning itu menimbulkan rasa kurang tidak puas hati netizen kerana dikatakan seperti memperlekehkan keadaan kanak-kanak tersebut yang dilihat tidak memakai kasut.

“Miskin budak-budak ni selipar pun tak ada! (emoji ketawa),” tulis Ning.

Sementara itu, menerusi komen balas yang ditulis, penyanyi lagu Awan Yang Terpilu itu menjelaskan dia faham dengan situasi yang sedang dihadapi kanak-kanak tersebut.

Malah dia secara jujur mengakui tersalah menggunakan emoji pada komen yang ditulisnya itu.

“Saya faham situasi mereka, kalau awak tak faham maksud saya jangan melatah… terima kasih!

“Saya taip tergesa-gesa dan ingatkan saya letak (emoji nangis). Alhamdulillah, terima kasih bagi saya pahala,” balasnya pada salah satu komen.

Semalam, video sekumpulan kanak-kanak disoal polis kerana keluar bermain dalam tempoh PKP menjadi tular di media sosial.

Menerusi video itu, kelihatan kira-kira 10 orang kanak-kanak ditahan polis kerana
bermain di luar rumah ketika tempoh PKP.

Rakaman tersebut mencuit hati netizen apabila polis memberitahu mahu membawa mereka ke balai polis selain salah seorang anggota itu yang sempat membeli kentang goreng yang dijual oleh salah seorang kanak-kanak itu. – MalaysiaGazette