Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim (dua kiri) bersama Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah (dua kanan) melakukan lawatan khas berikutan kawalan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan di Menara Plaza City One, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 14 APRIL 2020.

KUALA LUMPUR – Kawasan Menara City One, Selangor Mansion dan Malayan Mansion di sini terkawal dan polis telah mengatur keanggotaan yang mencukupi untuk menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan-kawasan yang terlibat.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, ia ekoran pelanjutan PKPD di ketiga-tiga kawasan di ibu kota itu ekoran penularan Covid-19 seperti diumumkan kerajaan.

Beliau hari ini juga turun padang dan melihat sendiri penugasan anggota polis di kawasan terbabit.

“Polis Kuala Lumpur amat mengharapkan kerjasama semua pihak supaya
mematuhi PKPD yang bertujuan untuk membendung jangkitan Covid-19
daripada terus menular,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru, katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau pun maklumat boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berhampiran. – MalaysiaGazette