KUALA LUMPUR – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) tidak pernah mengeluarkan surat memohon bayaran baki cukai tertunggak atas keuntungan pelaburan saham di salah sebuah syarikat pelaburan.

Dalam satu kenyataan hari ini, LHDN memaklumkan, surat mohon bayaran cukai keuntungan pelaburan sebagaimana yang ditularkan sebelum ini adalah palsu.

Justeru, LHDN menasihatkan orang ramai supaya mengesahkan terlebih dahulu sekiranya menerima sebarang e-mel atau surat yang meragukan berkaitan pihak berkenaan.

Sebagai memberikan kemudahan sebarang pertanyaan dan maklum balas berkaitan perkara seperti itu boleh diajukan menerusi talian Hasil Care Line (HCL) di 03-8911 1000 atau HASiL Live Chat serta Facebook dan Twitter.

Sebelum ini tular dilaman sosial apabila sekeping surat berlogo agensi dibawah Kementerian Kewangan itu memohon bayaran cukai keuntungan daripada sebuah syarikat.

Surat yang bertarikh 15 April 2020 itu menggesa agar syarikat yang berdaftar menggunakan kategori trading itu membayar cukai pendapatan kepada LHDN berjumlah RM3,500. – MalaysiaGazette