Pekerja-pekerja sedang melakukan operasi nyah kuman di bandar raya Jakarta. foto Reuters

JAKARTA – Angka kematian akibat koronavirus di Indonesia mungkin sudah mencapai 1.000, hampir dua kali ganda daripada angka rasmi 535, kata Pengerusi Persatuan Doktor-Doktor Indonesia (IDI), Daeng Faqih.

Terdapat perbezaan antara angka rasmi dan anggaran IDI kerana data rasmi tidak termasuk kematian pesakit yang disyaki menghidap koronavirus disebabkan masih menunggu keputusan ujian.

“Mereka yang belum disahkan menghidap Covid-19 juga dilaporkan oleh hospital sebagai kematian oleh koronavirus,” kata Daeng kepada media tempatan.

Dengan angka rasmi, Indonesia telah melaporkan lebih banyak kematian akibat koronavirus berbanding negara- negara Asia kecuali China.

Kementerian Kesihatan Indonesia semalam melaporkan sebanyak 325 kes koronavirus baru, menjadikan jumlah jangkitan di negara keempat terpadat di dunia sebanyak 6,248.

Fakulti Kesihatan Awam Universiti Indonesia telah memberi amaran bahawa mungkin ada lebih dari 140,000 kematian dan 1.5 juta kes di seluruh Indonesia menjelang Mei ini kecuali kerajaan mengambil tindakan lebih keras.

Kes jangkitan koronavirus di Indonesia semalam telah melepasi Filipina untuk menjadi negara dengan jumlah jangkitan tertinggi di Asia. – MalaysiaGazette