kes positif Covid-19 itu dikesan dalam kalangan rakyat Malaysia yang pulang daripada Indonesia melalui Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) pada 16 April lalu.-Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan satu lagi kluster baharu di pintu masuk antarabangsa di negara ini.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, kes positif Covid-19 itu dikesan dalam kalangan rakyat Malaysia yang pulang daripada Indonesia melalui Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) pada 16 April lalu.

“Kluster ini terdiri daripada 43 orang pelajar yang pulang dari Temboro, iaitu salah satu tempat yang telah diisytiharkan sebagai zon merah di daerah Magetan, Indonesia.

“Daripada jumlah keseluruhan tersebut, seramai 34 orang telah dikuarantin di negeri Melaka dan sembilan orang di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,” katanya dalam sidang media di KKM hari ini.

Dalam pada itu, seramai tiga rakyat Malaysia dari Aceh dan masing-masing seorang dari Timur dan Kalimantan telah dikuarantin kerana positif Covid-19.

Semalam, seramai 17 warga negara ini didapati positif Covid-19 menjadikan jumlah terkini rakyat dari luar negara pada paras 65 kes positif.

Dalam pada itu, sejumlah 15,800 rakyat negara ini yang pulang ke Malaysia telah dikuarantinkan di 190 pusat kuarantin di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, seramai 1,041 daripadanya adalah daripada jemaah tabligh.

“Setakat ini kita ada 11,725 orang yang dipantau dan sampel yang diambil adalah 8,410. Yang positif adalah 65 orang sahaja,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast