Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah
Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA – Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham mengakui negara memerlukan pengalaman yang dimiliki oleh China dalam menangani penularan Covid-19.

Menurut beliau, pengamalan yang positif atau negatif oleh China itu amat penting bagi Malaysia.

“Mereka bukan datang untuk membantu kita merawat tetapi bantu kita melawan virus baru. Masing-masing ada pengalaman sama ada berjaya atau tidak. Kedua-dua itu penting untuk kita.

“Kalau berjaya mungkin kita akan teruskan usaha untuk menggunakan kaedah mereka tetapi kalau tidak berjaya, kita belajar daripada cara mereka melaksanakan usaha itu.

“Kalau tidak berjaya, kita jangan ulangi kesilapan mereka dan juga kaedah mereka yang tidak berjaya,” katanya kepada media menerangkan mengenai kehadiran lapan pakar dari republik itu ke negara ini semalam.

Duta Besar China ke Malaysia, Bai Tian semalam berkata, kelapan-lapan pakar perubatan dari China yang tiba di Malaysia semalam adalah dari pelbagai bidang kepakaran dan dipilih oleh Suruhanjaya Kesihatan di Wilayah Guangdong.

Kesemua mereka khusus dalam pelbagai bidang seperti penafasan, rawatan rapi, psikiatri, penyakit berjangkit, analisis data, virologi dan perubatan tradisional Cina.

Mengulas lanjut, Noor Hisham berkata, adalah penting untuk Malaysia mengadakan diskusi secara langsung dengan kesemua pakar itu bagi menambah pengetahuan mengenai virus berbahaya itu.

Malah pengalaman mereka selama dua bulan menangani pandemik Covid-19 di wilayah Hubei, China diharap membantu Malaysia dalam usaha mengekang penularan pandemik itu di negara ini.

“Ramai yang tidak pasti ini mengenai cara virus ini merebak, menjangkiti dan menyebabkan kelemahan tubuh. Jadi, mungkin dengan perbincangan yang lebih lanjut dengan mereka yang mempunyai pengalaman pastinya mereka ada pengalaman sebab kita lihat tempoh dua bulan mereka telah berhadapan dengan virus ini di negara China.

“Dan pengalaman itu penting samada negatif atau positif ia amat penting. Kita boleh belajar daripada pengalaman mereka,” katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast