Penulis semasa menjalankan perkhidmatan menggunting rambut untuk komuniti sebelum PKP baru-baru ini.- Foto arkib MOHD NAIM AZIZ.

KUALA LUMPUR – Sudah genap sebulan kita semua berada di dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sudah masuk fasa ketiga perlaksanaannya.

Sudah tentu kepelbagaian cerita suka duka, payah jerih semasa menghadapi tempoh PKP ini. Menariknya penulis ingin berkongsi pandangan tentang sektor gunting rambut umumnya.

Baru baru ini pihak kerajaan pada satu kenyataan mengumumkan sektor industri gunting rambut dibenarkan beroperasi diantara salah satu sektor perkhidmatan yang dibenarkan.

Tidak sampai 24 jam kenyataan itu dimuatnaik banyak perbahasan netizen berkenaan sektor itu akan mengundang penularan wabak Covid-19 lebih berleluasa.

Pandangan baik dan buruk banyak diketengahkan. Hampir 95 peratus masyarakat tidak bersetuju ianya beroperasi. Malahan pemilik pemilik kedai gunting juga menyokong saranan umum untuk tidak beroperasi sehingga situasi benar benar selamat dan terkawal.

Dalam masa sama tular berita seorang tukang gunting rambut di Mississippi, Amerika Syarikat, Eugene Thompson meninggal dunia selepas menerima pelanggan ketika wabak Covid-19 masih belum dikekang.

Penulis yang juga merupakan salah seorang tukang gunting profesional yang hanya menjalankan perkhidmatan bergerak dari rumah ke rumah untuk komuniti.

Banyak permintaan yang diajukan kepada penulis untuk memberi perkhidmatan selepas pengumuman kerajaan tersebut. Akhirnya selepas banyak perdebatan berkaitan kesihatan dan penularan wabak, pihak kerajaan sekaligus membatalkan sektor perkhidmatan industri tersebut untuk beroperasi ketika ini.

Ramai golongan netizen menyambut baik penangguhan tersebut. Malah ada yang menyarankan beli sahaja mesin gunting rambut di pasaran terbuka dan gunting sendiri di rumah.

Sudah tentu nilai jualan berganda dalam talian penjualan produk mesin gunting rambut ini dan ada yang mengambil peluang menjualnya secara online.

Malah ada rakan- rakan penulis ada yang berkongsi gambar dalam kumpulan WhatsApp selepas membuat pembelian seterusnya melakukan proses gunting rambut sendiri.

Namun biasalah ada yang menjadi dan ada yang tidak, lebih-lebih lagi yang tidak pernah menggunting rambut sendiri.

Tidak kurang juga ada yang menyatakan kerosakan akibat jentera mesin menjadi panas dan rosak semasa tengah menggunting rambut.

Kepelbagaian ragam berkaitan penggunaan mesin rambut ‘segera’ ini dikongsikan di dalam media sosial. Ada juga menyarankan penulis menghasilkan tutorial video cara-cara menggunakan mesin rambut di rumah semasa tempoh PKP.

Ada juga yang mengupah perkhidmatan tukang gunting datang ke rumah semasa PKP tetapi ia tidak digalakkan kerana ‘mencabuli’ arahan penjarakan sosial.

Apa pun, kita kena berhati-hati kerana bila terdesak kita tidak ambil peduli mengenai kualiti dan harga mesin potong rambut di pasaran online.

Dalam masa yang sama, kenapa kita tidak belajar melakukannya dalam masa terluang PKP ini dan ia sudah tentu menjadi pengalaman berharga sekiranya menghadapi situasi yang sama pada masa depan.

Selain itu, penulis bersetuju dan sependapat dengan pandangan orang ramai yang menyatakan kesabaran dan ketabahan dalam tempoh PKP ini amat ditagih bagi memutuskan rangkaian wabak keseluruhannya.

Lebih-lebih lagi kita sedang menantikan bulan Ramadan yang sesungguhnya menuntut kesabaran tinggi.- MalaysiaGazette