PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan pihaknya akan menggunakan ubat Remdesivir bagi merawat pesakit positif Covid-19.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya akan memulakan kajian klinikal bagi menguji keberkesanan dan keselamatan ubat Remdesivir untuk merawat pesakit Covid-19 dalam masa terdekat.
“Sembilan buah hospital KKM yang mengambil bahagian di dalam WHO Solidarity Trial ini telah bersedia untuk memulakan pengambilan peserta kajian di kalangan pesakit Covid-19 yang memenuhi kriteria yang ditetapkan,” katanya dalam sidang media di KKM hari ini.
Kajiselidik yang diselaraskan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di seluruh
dunia itu adalah satu usaha pengumpulan data dan perbandingan keselamatan serta keberkesanan empat regimen rawatan menggunakan kombinasi Remdesivir, Lopinavir/Ritonavir, Interferon beta, Chloroquine dan Hydroxychloroquine.
Pada Jumaat lalu, Noor Hisham berkata ubat Remdesivir telah didaftarkan dan diluluskan penggunaannya sebagai ubat antiviral baharu bagi merawat pesakit Covid-19.
Penggunaan ubat berkenaan ketika itu masih di peringkat kajian dan sebarang laporan mengenai penggunaannya masih terlalu awal untuk diketahui.
Penghujung Mac lalu, Noor Hisham berkata, WHO memilih Malaysia bagi menjalankan kajian menguji keberkesanan ubat itu bagi merawat pesakit Covid-19.
Pemilihan Malaysia dibuat berikutan keupayaan KKM dalam jalankan kajian klinikal. -MalaysiaGazette