KUALA LUMPUR – Pemain tengah Kuala Lumpur, Paulo Josue yang telah beraksi selama empat musim bersama skuad warga kota menanam hasrat mahu mengakhiri karier bersama pasukan itu.

Dia mengakui Kuala Lumpur sudah seperti sebahagian daripada dirinya malah menjadi pasukan paling lama diwakilinya sepanjang bergelar pemain profesional.

Berusia 31 tahun, Josue yang berasal dari Brazil turut menyatakan keluarganya juga sudah semakin selesa dan gembira tinggal di Kuala Lumpur.

“Tidak keberatan untuk katakan yang saya memang mahu bermain selama mungkin bersama Kuala Lumpur malah hingga karier saya berakhir.

“Empat musim di sini, pelbagai perkara saya telah lalui bersama Kuala Lumpur dan mereka umpama seperti keluarga buat saya.

“Segala-galanya saya gembira bersama Kuala Lumpur dan diharapkan saya mampu menempuh beberapa musim lagi jika khidmat diperlukan.

“Malah faktor keselesaan keluarga saya tinggal di sini, membuatkan motivasi serta fokus saya sentiasa di tahap terbaik bersama Kuala Lumpur,” katanya.

Fabio Maciel merupakan orang yang bertanggungjawab membawa Josue pada pertengahan musim 2017 sebelum pasukan Kuala Lumpur muncul juara Liga Premier.

Selain Josue, pemain tengah Perak, Leandro dos Santos (2017-2020) dan penyerang JDT, Gonzalo Cabrera (2017-2020) antara tonggak paling import paling lama kekal bersama satu pasukan.

Mengenai kesan penularan wabak Covid-19, Josue masih menyimpan impian agar Liga Malaysia 2020 dapat kembali bersambung sejak ditangguhkan 16 Mac lalu.

Tambahnya, berita mengenai penurunan jumlah kes baharu dalam tempoh beberapa hari ini diharap mampu beri kesan positif terutama pada penganjuran Liga Malaysia musim ini.

“Buat masa ini, saya dan pemain lain masih menanti penuh debar bilakah liga kita akan disambung kembali dan harapan saya mungkin Julai ini dapat diteruskan cuma kita kena tengok bagaimana Covid-19.

“Saya ada ikuti keadaan semasa di sini dan memang nampak ada penurunan kes, harap benda ini berterusan serta mampu beri kesan positif kepada perjalanan Liga Malaysia,” katanya.

Walaupun membawa isteri dan anaknya tinggal di sini namun tetap terselit kerinduan kepada sanak saudaranya yang sedang berada di Brazil.

“Kes di Brazil memang saya akui agak tinggi namun saya lega tiada dalam kalangan ahli keluarga yang dijangkiti dan buat masa ini, tiada apa yang hendak saya risaukan, ” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast