KUALA LUMPUR – Gerakan Belia 4B Malaysia menyambut baik saranan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengenai penangguhan sambutan Hari Belia Negara yang dijadualkan pada 15 Mei ini kepada tarikh baharu mengikut situasi semasa Covid-19.
Presidennya, Mohd Nizam Omar berkata, Gerakan Belia 4B Malaysia sentiasa akur kepada arahan kerajaan yang kini telah melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ke fasa ke-4, bermula 29 April sehingga 12 Mei 2020.
“Dalam kita sibuk menyediakan terbaik bagi membanteras wabak Covid-19, golongan belia juga tidak ketinggalan bertungkus-lumus bersama menjaga kebajikan masyarakat sebagai satu tanda tanggungjawab murni anak muda.
“Selaras dengan pembawaan belia tonggak harapan negara, jangan pernah kita lupa akan Sambutan Hari Belia Sedunia dalam meraikan golongan anak muda yang seringkali disambut pada 12 Ogos setiap tahun.
“Inisiatif ini sentiasa memberi impak yang positif dalam mengetengahkan golongan belia ke arah yang lebih progresif dalam persiapan menghadapi cabaran hidup sebenar yang penuh dengan rintangan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau mengulas keputusan KBS hari ini yang menangguhkan sambutan Hari Belia Negara yang dijadualkan pada 15 Mei ini kepada satu tarikh baharu susulan penularan wabak Covid-19.
Menurut satu kenyataan KBS hari ini, sambutan berkenaan terpaksa ditangguhkan susulan lanjutan tempoh PKP sehingga 12 Mei ini, yang menunjukkan komitmen kerajaan dalam memerangi wabak berkenaan.
Dalam pada itu, Mohd Nizam mencadangkan agar sambutan Hari Belia Negara diadakan pada 12 Ogos 2020.
“Cadangan tarikh baharu itu selaras dengan sambutan Hari Belia Antarabangsa yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sekiranya situasi dan keadaan negara bertambah baik,” katanya. – MalaysiaGazette