Dr. Asmah razalli
Dr. Asmah razalli

KUALA LUMPUR –Bank Negara Malaysia (BNM) sepatutnya memihak kepada rakyat dalam isu moratorium, yang dikatakan berlaku u-turn selepas sebulan memberi kelonggaran bayaran pinjaman.

Ketua Pergerakan Wirawati Putra Malaysia, Dr. Asmah Razalli berkata, soal penangguhan bayaran pun dimulakan oleh kerajaan ketika negara berdepan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.

Kata beliau, kerajaan melalui Kementerian Kewangan mengumumkan pilihan moratorium sehingga peminjam menarik nafas lega kerana dapat membuat penangguhan pembayaran pinjaman ketika penularan wabak Covid-19.

“Berikutan PKP, banyak sektor terpaksa ditutup. Rakyat tidak mempunyai gaji tetap, malah ada yang kehilangan pekerjaan menyebabkan hidup mereka terutama golongan M40 dan B40 terbeban.

“Golongan ini tidak mempunyai simpanan tunai yang mencukupi bagi menampung keperluan membeli makanan dan pelbagai keperluan lain setelah punca pendapatan mereka terhenti akibat PKP,” katanya dalam kenyataan kepada media.

Malangnya menurut Dr. Asmah, selepas sebulan berlalu, rakyat dikejutkan dengan kaedah penangguhan dua pilihan pembayaran yang diumum BNM semalam sehingga ada yang rasa tertipu.

Hari ini, ujar beliau, Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz telah mengeluarkan kenyataan, beliau bersetuju jika BNM perlu memahami kehendak rakyat yang faedah terakru pinjaman sewa beli dan keuntungan Pembiayaan Islam kadar tetap harus dilupuskan demi memikirkan kesempitan rakyat ketika ini.

“Kita juga menyokong kenyataan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, bank tidak mungkin menanggung kerugian begitu besar sehingga tidak mampu melupuskan faedah moratorium bagi produk perbankan Islamik.

“BNM sebagai badan penyelia kewangan perlu berpendirian berpihak kepada peminjam ketika waktu sukar ini kerana perbankan adalah satu-satunya industri yang sentiasa menjana keuntungan.

“Wirawati Putra turut sependapat dengan Tengku Razaleigh sebagai tokoh perbankan ini, di mana moratorium bererti mesti dikecualikan penalti, faedah dan sebagai institusi kewangan Islamik tidak wajar mengenakan faedah kerana bertentangan dengan perundangan syariah,” kata beliau.

Katanya, Wirawati Putra gembira jika Kementerian Kewangan bersedia bekerjasama dengan BNM dan sektor perbankan bagi memastikan pelaksanaan saranan itu.

Kerajaan ujar Dr. Asmah, perlu peka kepada keperluan rakyat, dan turut  mengambil kira atau mempertimbangkan pandangan Tengku Razaleigh mengenai hal itu. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.