Gambar Hiasan. foto SYAFIQ AMBAK, 04 MEI 2020.

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKPD sejak 18 Mac selama tiga fasa sedikit sebanyak telah banyak memberi pengajaran kepada masyarakat umum tentang prosedur keselamatan.

Hari ini pula, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarakat (PKPB) susulan keputusan kerajaan membenarkan hampir kesemua sektor ekonomi beroperasi semula menyebabkan hampir rata-rata rakyat keluar setelah ‘berkurung’ hampir dua bulan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (kiri) melakukan pemeriksaan suhu badan selepas melakukan pemantauan penumpang MRT susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Stesen MRT Bukit Bintang, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 04 MEI 2020.

Tinjauan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong di beberapa stesen transit Aliran Massa (MRT) mendapati bukan sahaja ia nampak tenang tanpa pengguna bersesak-sesak dan berpusu-pusu.

Sebaliknya, rata-rata daripada mereka juga didapati patuh serta arif mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika menggunakan perkhidmatan berkenaan.

Rata-rata penumpang MRT juga didapati telah mematuhi jarak sosial satu meter yang ditetapkan di depan kaunter pengimbas kad, dalam tren dan tempat menunggu.

Pemeriksaan suhu badan juga dilakukan ketika lagi-lagi orang ramai menggunakan perkhidmatan tren berkenaan.

Beliau yang menaiki MRT dari Taman Mutiara sehingga Muzium Negara sebelum berpatah balik ke stesen Bukit Bintang seawal 8 pagi kelihatan berpuas hati setakat ini.

“Saya nampak PKP ini sebenarnya banyak mengajar masyarakat kita bukan sahaja bahaya pandemik Covid-19 sebaliknya juga cara-cara untuk memecahkan rantaian termasuklah penjagaan keselamatan diri.

Sebahagian penumpang mengikut penjarakkan sosial semasa menaiki Transit Aliran Ringan (LRT) susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Stesen LRT Pasar Seni, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 04 MEI 2020.

“Setakat yang saya nampak hari ini, ramai juga mempamerkan perkembangan mengagumkan apabila kebanyakan mereka mempunyai tahap kesedaran tinggi dan mematuhi SOP ditetapkan.

“Tidak ada yang berpusu-pusu juga. Tetapi pada masa sama, PKPB bagi mengurangkan potensi jangkitan Covid-19,” katanya kepada pemberita hari ini.

Ka Siong yang turut ditemani pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Nizam Alias bersama-sama sekumpulan media turut meninjau pelaksanaan hari pertama PKPB di stesen MRT Bukit Bintang.

Bagaimanapun, kata Ka Siong, pada masa sama, pihaknya tidak akan sesekali berkompromi jika ada pengguna pengangkutan awam yang tidak mematuhi SOP disediakan.

“Ingat ya, kita buat ini untuk kebaikan kesihatan kita semua. Ini termasuklah saringan kesihatan, penggunaan topeng muka dan penjarakan sosial. Jika suhu badan anda menunjukan anda demam, anda tidak boleh menaiki tren-tren ini juga,” ujarnya.

Anggota-anggota penguat kuasa ditempatkan dalam gerabak kereta api bagi memantau pergerakan dan menasihati penumpang jika tidak mematuhi SOP ditetapkan.

Dalam pada itu, Nizam berkata, waktu puncak penggunaan kereta api dipanjangkan sepanjang PKPB, iaitu bermula jam 7 hingga 11 pagi dan 4 petang hingga 7 malam dengan kekerapan antara tiga hingga empat minit, berbanding sebelum ini.

“Ini bagi membolehkan penumpang dapat menggunakan perkhidmatan ini dengan kapasiti ditetapkan sepanjang PKPB, iaitu separuh berbanding kapasiti asal,” jelasnya. –MalaysiaGazette

Jangan naik tren, bas kendalian prasarana tanpa penutup mulut dan hidung