PUTRAJAYA – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Putrajaya menggesa Perbadanan Putrajaya (PPj) memberi pengecualian bayaran selama enam bulan untuk bayaran sewa kedai dan kiosk di medan selera Kompleks Kejiranan Presint 11 di sini.
Naib Ketuanya, Mohd Zushaidey Zulkifli berkata, ini kerana pengecualian sewaan itu selama dua bulan iaitu untuk Mac dan April yang diberikan PPj ketika ini tidak selari dengan kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 27 Mac lalu.
“Ini amat jelas sekali bercanggah dengan kenyataan yang telah dibuat oleh Yang Amat Berhormat (YAB) Perdana Menteri Malaysia pada 27 Mac 2020 iaitu ‘kerajaan juga bersetuju memberi pengecualian sewaan selama enam bulan.
“Ia termasuk semua premis milik Kerajaan Persekutuan seperti kantin sekolah, taska, kafeteria dan kedai serbaneka serta premis milik agensi dan Badan Berkanun Kerajaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
PPj perlu memandang serius tuntutan 13 peniaga di medan selera terbabit susulan inisiatif Wilayah Cakna di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan yang memberi pengecualian premis sama seperti diumumkan Perdana Menteri.
“Baru-baru ini Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa memberi pengecualian 6 bulan bayaran sewa perumahan awam (PA) atau Projek Perumahan Rakyat (PPR) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Pengecualian bayaran sewa ini meliputi semua unit rumah, kedai, gerai di PA atau PPR DBKL, Kompleks Belia & Beliawanis dan perumahan bandar mulai Mac hingga Ogos 2020 dan kaedah pengecualian sewa adalah secara automatik,” katanya.
Beliau berharap tuntutan 13 peniaga itu mendapat pertimbangan Kementerian Wilayah Persekutuan susulan PPj terletak di bawah tadbir urus kementerian tersebut.
“Pertimbangan dan tindakan sewajarnya oleh Kementerian Wilayah Persekutuan melalui agensi PPj diharapkan susulan pandemik Covid-19 memberi kesan kepada perniagaan serta pendapatan mereka.
“Sehingga ke hari ini, pendapatan mereka masih terjejas dan nasib perniagaan mereka masih tidak diketahui,” katanya lagi. – MalaysiaGazette