Noh Omar

SHAH ALAM – Mana-mana ahli Parlimen tidak boleh dihalang daripada membawa sebarang usul persendirian termasuk usul tidak percaya kepada Perdana Menteri selagi ia tidak bercanggah dengan peraturan mesyuarat dan Perlembagaan Persekutuan.

Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar bagaimanapun menegaskan, ia bergantung kepada budi bicara Speaker Dewan Rakyat sama ada membenarkan ia dibahaskan atau sebaliknya meskipun usul itu diberi laluan pada persidangan akan datang.

“Semua ahli Parlimen boleh bawa usul persendirian, tapi apa juga ia terletak kepada Speaker Dewan Rakyat untuk mempertimbangkannya.

“Siapa pun ahli Parlimen tidak boleh dihalang daripada membawa usul, itu hak ahli Parlimen. Hak Speaker pula menapis usul tersebut, sama ada dibenar bahas ataupun sebaliknya.

“Kalau dibahaskan, maka Ahli Parlimen boleh mengambil bahagian dalam perbahasan,” katanya pada sidang media di Bangunan UMNO Selangor, di sini, hari ini.

Beliau mengulas tindakan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md. Yusof yang menerima usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Usul berkenaan dikemukakan oleh bekas Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad, pada 4 Mei lalu di bawah Peraturan Mesyuarat 26(1) dibaca bersama Peraturan Mesyuarat 27(3).

Menurut Mohamad Ariff, usul tersebut di bawah Peraturan Mesyuarat 27 (3) yang membangkitkan iaitu: Mengemukakan resolusi untuk membuat ketetapan bahawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Ahli Yang Berhormat Pagoh tidak mempunyai majoriti ahli-ahli yang berhormat Dewan Rakyat.

Mohamad Ariff berkata, usul di bawah Peraturan Mesyuarat 27 (3) itu diterima untuk dibawa ke mesyuarat Dewan Rakyat kelak.

Dewan Rakyat dijangka bersidang sehari pada 18 Mei ini sebelum dijangka disambung semula pada Julai nanti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast