Foto Instagram Syanie

KUALA LUMPUR – Pelakon komedi, Syanie Hisham yang lama tidak muncul di kaca televisyen sahaja baru sahaja selama menjalani satu pembedahan pada 29 April lalu.

Menerusi Instagram, Syanie memaklumkan dia selamat menjalani pembedahan membuang rahim dan kedua-dua ovari.

Wanita berusia 46 tahun itu berkata pembedahan sepatutnya mengambil masa tiga jam namun selesai selepas tujuh jam kerana berlaku sedikit komplikasi.

“Alhamdulillah, saya selamat menjalani pembedahan buang rahim dan ovari dilakukan itu. Pembedahan yang disangka mengambil masa tiga jam, tapi selesai selama tujuh jam

“Memandangkan hanya adik saya saja yang boleh teman di hospital dan diminta tunggu di wad, jadi seluruh keluarga amat risau dengan keadaan saya,” tulisnya berkongsi pengalaman.

Menurut Syanie, meskipun berdepan komplikasi ketika pembedahan namun dia meluahkan rasa syukur segalanya berhalan lancar.

Malah, doktor yang merawat berkata ianya adalah pembedahan paling sukar pernah dilakukan.

“Sebenarnya,ketika pembedahan berlaku beberapa komplikasi seperti darah tak cukup dan ovari saya bernanah. Malah doktor yang merawat juga memaklumkan ini antara pembedahan yang paling sukar pernah dilakukannya,” katanya.

Syanie berkata selepas mengalami senggugut dia terus membuat pemeriksaan di hospital dan tidak menyangka masalah di bahagian ovari yang dihidapi 20 tahun lalu berulang kembali serta terdapat ketumbuhan pula di bahagian rahimnya.

“Dua minggu sebelum dimasukkan ke hospital, saya mengalami masalah senggugut teruk dan demam panas hingga nekad membuat pemeriksaan di hospital kerana bimbang dengan keadaan diri.

“Lagipun 20 tahun lalu, saya pernah menjalani pembedahan membuang nanah di ovari kanan sebanyak satu liter. Jadi secara tidak langsung saya terfikir adakah masalah lama berulang lagi.

“Namun kali ini tak sangka apabila hasil pemeriksaan doktor memaklumkan ada tiga ketulan di bahagian rahim yang perlu dibuang dan kedua-dua ovari saya dijangkiti kuman,” katanya. – MalaysiaGazette