Orang awam yang hadir bagi membuat saringan Covid-19 berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi membendung penularan Covid-19 ketika tinjauan Malaysia Gazette di Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 10 MEI 2020.

PEMANJANGAN tempoh perintah kawalan dilihat masih perlu
dan relevan dalam negara bagi memastikan kesihatan dan
keselamatan orang ramai dalam negara kita terpelihara daripada terdedah dengan risiko jangkitan virus Novel Koronavirus (Covid-19). Ini susulan pengumuman YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru – baru ini yang mengumumkan pemanjangan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 9 Jun yang akan datang. Pemanjangan tempoh perintah PKPB ini dilihat sesuai kerana perintah PKPB berkenaan baru sahaja dilaksanakan dalam negara kita pada 4 Mei yang lalu.
Sekiranya perintah PKPB ini dihentikan pada masa kini, ia dibimbangi akan mendedahkan orang ramai dengan risiko
jangkitan virus Covid-19).

Satu tempoh yang panjang perlu diberikan bagi memastikan segala perancangan yang diambil oleh pihak kerajaan khususnya oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terhadap isu
penularan virus Covid-19 ini dapat dilaksanakan dengan
baik serta memenuhi segala objektifnya. YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu perutusan khas sempena Hari Pekerja pada 1 Mei berkata hampir semua kegiatan ekonomi dan sosial akan dibenarkan beroperasi dengan bersyarat bermula 4 Mei.

Antara syarat – syarat yang dinyata oleh beliau adalah mana-mana kegiatan yang melibatkan himpunan orang ramai seperti panggung wayang dan bazar, atau kegiatan kontak rapat seperti bola sepak dan rugbi tidak dibenarkan dan sekolah serta institusi pengajian tinggi masih ditutup dan perjalanan merentas negeri tetap tidak dibenarkan kecuali untuk urusan kerja. Pengendali restoran pula boleh menerima pelanggan tetapi hanya 1 hingga 3 orang dibenarkan berkongsi meja, dan penjarakkan sosial masih
berkuatkuasa di kaunter juruwang. Proses pensanitasi dan sabun di sinki mesti disediakan, mengimbas suhu badan pelanggan disarankan, dan kakitangan mesti memakai topeng sepanjang masa. YAB Perdana Menteri juga menyeru pihak majikan untuk membenarkan kakitangan bekerja dari rumah dan membolehkan suami dan isteri bekerja secara bergilir. Semua syarat yang dinyatakan ini adalah bagi membendung penularan Covid-19 dalam negara kita.

Orang ramai tidak boleh memandang ringan terhadap ancaman yang dibawa oleh virus COVID-19 ini kerana ia adalah sejenis virus baru yang amat berbahaya kepada kesihatan manusia serta amat mudah menjangkiti orang ramai. Apa yang lebih membimbangkan adalah tiadanya vaksin atau penawar khas yang boleh mengubati mereka yang telah dijangkiti dengan virus ini pada ketika ini. Lebih empat juta yang telah dilaporkan telah dijangkiti dengan virus Covid-19 dan lebih dua ratus ribu orang dilaporkan maut akibat daripada jangkitan dengan virus Covid-19  ini diserata dunia sehingga kini. Golongan warga emas, individu
yang memiliki rekod atau sejarah penyakit kronik serta individu yang mempunyai tahap ketahanan atau imuniti dalam badan yang lemah lebih berisiko tinggi mendapat kesan kesihatan yang buruk sekiranya mereka dijangkiti dengan virus Covid-19 ini.

Oleh yang demikian, adalah penting langkah tegas diambil oleh pihak-pihak berkaitan terutamanya oleh pihak kerajaan bagi memastikan orang ramai dalam negara kita tidak terdedah dengan ancaman jangkitan virus Covid-19. Orang ramai diminta memahami keputusan yang telah diambil oleh pihak kerajaan terhadap perkara ini serta mematuhi segala perintah yang diberikan demi kebaikan diri mereka serta orang sekeliling.
Walaupun terdapat penurunan jumlah kes jangkitan Covid-19
baharu dalam negara kita semenjak kebelakangan ini, kita tidak seharusnya memandangnya sebagai satu penamat terhadap segala usaha yang diambil bagi membendung penularan virus Covid-19 ini. Kita harus ketahui jumlah jangkitan dan kematian akibat daripada penularan virus Covid-19 masih meningkat dengan tinggi di serata dunia. Negara jiran terdekat kita juga seperti Singapura dan Indonesia turut melaporkan jumlah kes jangkitan baru Covid-19 yang banyak setiap hari. Sekiranya kita
menamatkan perintah PKPB sedia ada dalam negara kita pada ketika ini, ia dibimbangi boleh menjejaskan segala usaha yang telah dan bakal diambil bagi membendung penularan virus Covid-19.

Perlaksanaan perintah PKPB dalam negara kita juga masih perlu dilakukan kerana negara kita masih memiliki jumlah pesakit yang telah dijangkiti dengan virus Covid-19 yang ramai yang sedang menerima rawatan dalam hospital. Satu tempoh menunggu juga perlu diberikan bagi menilai tahap kepulihan kesihatan pesakit yang telah sembuh dari jangkitan virus Covid-19 ini bagi mengelakkan kemunculan semula virus berkenaan didalam tubuh badan mereka. Proses saringan juga sedang giat dilakukan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengesan
individu – individu yang dijangkit dengan virus Covid-19 dalam negara kita terutamanya dalam kalangan warga asing.

Adalah masih terlalu awal untuk menghentikan perintah PKPB ini dalam negara kita. Oleh yang demikian, adalah wajar sekiranya pihak kerajaan melanjutkan perintah PKPB ini dalam negara kita sekurang-kurangnya sehingga penghujung bulan Jun atau awal bulan Julai bagi betul-betul memastikan negara kita bebas dari risiko ancaman virus Covid-19.

Muzaffar Syah Mallow

Oleh: Dr. Muzaffar Syah Mallow,
Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang – Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast