Foto hiasan -Nelayan menaiki bot selepas pulang dari menangkap ikan ketika tinjaun lensa MalaysiaGazette di Kampung Nelayan Air Masin Kukup, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 05 NOVEMBER 2019.

TAIPING – Disebabkan ramai pekerja dari Thailand telah pulang ke negara asal dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), keadaan itu menyebabkan kapal nelayan kelas C mengalami masalah kekurangan pekerja yang serius.

Oriental Daily melaporkan, keadaan itu juga akan menyebabkan berlaku kekurangan makanan laut dalam pasaran tempatan, sekali mendorong kenaikan harga.

Setiausaha Persekutuan Industri Perikanan, Xu Hui Zhen berkata,  terdapat lebih 3,000 kapal laut dalam kelas C dan kelas C2 di seluruh negara dengan 70 peratus tenaga buruh adalah dari Thailand.

Katanya, baki 20 peratus pekerja adalah dari Myanmar, Indonesia dan Kemboja manakala hanya 10 peratus merupakan pekerja tempatan.

Menurutnya, kebanyakan pekerja dari Thailand hanya dibenarkan berada di Malaysia selama 30 hari sebelum balik ke negara asal dan  masuk semula untuk bekerja di Malaysia.

“Kebanyakan nelayan dari Thailand ini telah balik secara berperingkat ke Thailand pada Mac dan kami tidak tahu bila mereka akan datang semula ke Malaysia.

“Banyak kapal nelayan kelas C tidak dapat keluar laut kerana kekurangan pekerja,” katanya.

Jelasnya, di Pantai, Perak,  lebih 500 orang atau 99 peratus pekerja asing di kapal laut dalam merupakan warga Thailand.

“70 peratus kapal tidak boleh keluar laut sekarang kerana kekurangan pekerja Thailand,” katanya.

Menurutnya, terdapat juga warga Thailand yang tertinggal lebih masa di Malaysia kerana gagal kembali ke negara asal berikutan kawalan pergerakan.

“Walaupun mereka tidak akan dikenakan tindakan masa ini, tetapi mereka perlu balik ke Thailand dalam tempoh 14 hari selepas tamatnya tempoh PKP.

“Keadaan ini bermakna pekerja Thai yang sudah berada di Thailand tidak dapat datang ke Malaysia, yang masih berada di Malaysia pula akan pulang Thailand selepas PKP.

“Banyak kapal tidak akan dapat beroperasi dan akan menyebabkan kekurangan makanan laut dalam pasaran, ” katanya.

Jelasnya, walaupun kapal nelayan kelas B masih beroperasi, tetapi hasil tangkapan adalah lebih sedikit dan tidak cukup menampung permintaan pasaran.

“Kapal nelayan kelas C boleh membawa pulang hasil tangkapan 10 hingga 20 tan melalui satu misi, tetapi kapal nelayan kelas B hanya boleh membawa ratusan kilogram hingga 2,000 kilogram sahaja,” katanya.

Hui Zhen berharap kerajaan boleh memberi kelonggaran supaya pekerja Thailand sedia ada boleh tinggal lebih lama di Malaysia sehingga pekerja yang sudah balik ke negara asal kembali bertugas.

1 Komen

  1. Tubuhkan akedemi laut nelayan pada rakyat Malaysia. Supaya kita tidak terlalu bergantung pada pekerja asing.
    Kerajaan mesti lakukan sesuatu untuk rakyat Malaysia dapat bekerja dan tidak menganggur.

Comments are closed.