Sejumlah 960 individu yang terdiri daripada kakitangan dan ahli Parlimen sudah disaring oleh KKM.-Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Sidang Dewan Rakyat yang mengambil tempat esok dijangka dihadiri hampir kesemua ahli Parlimen.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, sejumlah 960 individu yang terdiri daripada kakitangan dan ahli Parlimen sudah menjalani proses saringan Covid-19.

“Setakat ini kalau kita lihat jumlah yang telah dikenal pasti adalah 960 iaitu ahli Parlimen dan petugas Parlimen tetapi yang hadir untuk saringan dan ujian ialah 950 orang.

“Kita juga telah dapat keputusan untuk 948 orang (yang telah jalani saringan) negatif dan dua masih pending dan kita akan dapat keputusan petang ini,” katanya pada sidang akhbar situasi semasa jangkitan Covid-19 di KKM, hari ini.

Bagaimanapun, 10 individu lain tidak menghadirkan diri untuk proses saringan termasuk dua ahli Parlimen kerana sedang menjalani kuarantin selepas mempunyai kontak rapat dengan individu yang dijangkiti wabak tersebut.

Difahamkan, semua petugas dan Ahli Parlimen telah menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum menghadiri Persidangan Dewan Rakyat esok.

Ini bagi membendung penularan wabak Covid-19 yang kini mengakibatkan 113 kematian setakat ini.

Untuk rekod, persidangan Dewan Rakyat esok tidak akan bersidang sebaliknya hanya titah ucapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. -MalaysiaGazette