Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Selepas Yang di-Pertuan Agong membaca kronologi neratif landskap politik negara yang berlaku pada 24 Februari lalu, pembangkang seharusnya sedar dan tidak lagi mengungkit soal kerajaan pintu belakang.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berkata, peralihan kuasa yang berlaku dari Pakatan Harapan (PH) kepada kerajaan baharu Perikatan Nasional (PN) berpunca daripada peletakan jawatan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.

Katanya, Yang di-Pertuan Agong telah menjelaskan secara terperinci urutan kejadian itu sehingga baginda bertindak mengikut Perlembagaan negara melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai penganti.

“Tuanku menitahkannya secara rasmi di Parlimen hari ini bahawa Perdana Menteri ketujuh (Dr. Mahathir) meletakkan jawatan atas kehendaknya sendiri.

“Dengan itu tidak ada lagi isu pintu belakang… tutup buku,” ciap beliau menerusi Twitternya hari ini.

Dalam titah diraja sempena pembukaan Penggal Ketiga, Parlimen Keempat Belas di Bangunan Parlimen di sini, pagi ini, baginda menitahkan, pada 24 Februari lalu, neratif landskap politik negara digegarkan dengan peletakan jawatan Perdana Menteri ketujuh.

“Sekitar jam 5 petang pada hari itu, beta menerima menghadap Dr. Mahathir dan dalam pertemuan tersebut, beta telah meminta Dr. Mahathir untuk tidak meletakkan jawatan, namun beliau tetap dengan keputusannya.

“Oleh demikian, beta bertanggungjawab untuk melantik seorang Perdana Menteri yang baharu seperti mana dikehendaki oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Perkara 43 memberi kuasa budibicara kepada beta untuk melantik seorang Ahli Dewan Rakyat (ADR) yang pada hemat beta mendapat kepercayaan majoriti ADR,” titah baginda.

Lantaran itu, pada 25 dan 26 Februari, baginda telah mengadakan sesi pertemuan secara berseorangan dengan ADR untuk menilai sendiri sokongan kepercayaan mereka.

“Pada 29 Februari 2020, beta telah menitahkan semua parti-parti politik yang mempunyai wakil dalam Dewan Rakyat untuk mencalonkan nama seorang ADR sebagai bakal Perdana Menteri.

“Atas permintaan beberapa ketua parti politik, beta telah berkenan pula untuk melanjutkan tempoh masa bagi parti-parti politik mengemukakan pencalonan mereka agar masa yang cukup diberikan dalam mereka membuat perhitungan secara demokrasi.

“Sudah tentu setiap pertandingan pasti akan ada penamatnya. Kemelut politik negara tidak boleh dibiarkan berlarutan dan berpanjangan dengan tanpa ada penghujungnya,” titah baginda.

Lantaran itu, titah baginda, setelah melalui semua proses tersebut dan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, baginda mendapati Muhyiddin mendapat kepercayaan majoriti ADR dan dengan demikian selayaknya dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Tanpa nama… Ko nie manusia ke devil ha?. Sifat kemanusiaan jangan diganti dengan kebinatangan. Ini wabak satu dunia, bukan Malaysia sahaja. Otak jangan letakk kat lutut… Letak kat kepala untuk berfikir. Tak kira parti apa, yg penting sama2 menghadapi wabak Covid-19 ini.

Comments are closed.