Kamaruzaman Mohamad
Ketua Penerangan Pas Pusat, Kamaruzaman Mohamad

KUALA LUMPUR – Pas menyelar tindakan pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang mempersendakan titah Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenaan sidang Dewan Rakyat tanpa perbahasan pada Isnin lalu.

Menurut Ketua Penerangannya, Kamaruzaman Mohamad, titah tersebut sepatutnya diambil serius oleh semua ahli Parlimen agar tidak diheret negara ke kancah politik tidak menentu bahkan mengancam ketidakstabilan dan keharmonian negara.

“Titah tersebut untuk menyedarkan semua pihak wujud menjauhi politik keterlaluan yang mungkin biadab, melampau, ekstrem dan radikal. Sebaliknya ia menjadi ancaman dan gugatan yang menjerumuskan negara kepada ketidaktentuan dan kegagalan.

“Malangnya, titah tersebut seolah-olah disanggah oleh keceluparan Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr Xavier Jayakumar yang menyifatkan sidang Dewan Rakyat kelmarin sebagai sampah dan tidak berguna.

“Kepada siapakah kecaman Xavier itu ditujukan? Kenyataan itu sangat tidak wajar kerana beliau masih berpakaian istiadat. Bahkan tidak patut jika ditujukan kepada pengendalian dewan yang mulia.

“Apatah lagi andainya ia ditujukan kepada YDPA kerana sesi kelmarin hanyalah titah Diraja semata-mata,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, menerusi satu video berdurasi selama hampir tiga minit, Xavier menyifatkan persidangan Dewan Rakyat sebagai sampah dan tidak berguna.

Xavier dilaporkan berkata, Ahli Parlimen cuma berada sejam saja di Dewan Rakyat hanya untuk mendengar titah YDPA atas alasan Covid-19.

Sidang itu dijadual selama sehari, namun dipendekkan untuk mendengar titah YDPA sahaja.

Pas juga melahirkan rasa kesal apabila Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang cuba menimbulkan kegusaran awam dengan  mendakwa gelombang kedua Covid-19 di negara ini berpunca dari ‘Langkah Sheraton’.

“Apakah Penasihat DAP ini tidak belajar dari netizen yang telah membuka pekung sebenar isu ini?

“Jika tidak kerana ‘Langkah Sheraton’ yang menjadi titik permulaan menyelamatkan negara, usaha menangani Covid-19 mungkin masih acuh tak acuh dilakukan kerajaan sebelumnya.

“Pemimpin PH sendiri meremehkan amaran banyak pihak ketika berkuasa, tiba-tiba kini Kit Siang masih berterusan mahu menuding jari,” katanya.

Katanya lagi, tindakan itu dilihat cuba mengheret negara ke kancah tidak menentu sedangkan kerajaan di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengambil langkah sewajarnya menerusi kerjasama penjawat awam.

“Barisan hadapan negara yang tidak dipandang DAP inilah yang telah berkorban segalanya mendepani pandemik maut ini.

“Pas kesal dengan dua suara pemimpin pembangkang juga Ahli Parlimen ini yang baharu mendengar Titah Diraja kelmarin.

“Bahkan ia berbaur hasutan dan kebencian untuk menjebak pelbagai pihak kepada politik benci yang tidak berkesudahan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. bila kamu dapat untong. orang pertikaikan itu melampau. tapi bila kamu rugi kamu boleh lakukan yang melampau itu sebagai halal.

  2. Mu yang terlebih dahulu melampau.Nama saja parti islam tetapi sanggup campur tangan menghuru-harakan politik negara . Mu dan Umno jatuhkan kerajaan PH dulu dengan pertemuan sulit dan perancangan licik ketika Covid19 melanda negara. Geng jahat mu yang rampas kerajaan kerajaan dengan cara kotor. Sekarang mu tuduh pula orang melampau. Jika bini mu dirampas orang sudah tentu mu nak ambil balik .Bodoh!!!@

Comments are closed.