Adnan Mat

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menzahirkan ucapan terima kasih dan menyambut baik keputusan kerajaan dan Kementerian Pengajian Tinggi untuk tidak meneruskan penggabungan UniSZA dan UMT.

Keputusan itu adalah tepat memandangkan kedua-dua Universiti Awam tersebut mempunyai identiti dan fokus pembelajaran yang tersendiri dan berbeza walaupun matlamat utama adalah sama bagi melahirkan modal insan yang berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Presidennya, Adnan Mat percaya keputusan itu diambil selepas kerajaan dan kementerian terbabit mempertimbangkan kesan dan implikasi yang bakal berlaku kepada penjawat awam yang bertugas di kedua-dua universiti tersebut.

”Sejak cadangan penggabungan dibuat oleh kerajaan sebelum ini, CUEPACS telah menerima pelbagai aduan dan kerisauan daripada penjawat awam termasuk kakitangan akademik mengenai kebajikan dan nasib mereka masing-masing sekiranya penggabungan itu dilakukan.

”Ada yang bimbang ditamatkan kontrak, diletakkan di jabatan yang tidak sesuai serta diberhentikan kerja. CUEPACS yakin keputusan untuk tidak meneruskan penggabungan tersebut mampu melonjakkan lagi semangat dan motivasi kerja kesemua penjawat awam termasuk barisan kakitangan akademik dan bukan akademik bagi mencipta lebih banyak kejayaan kepada negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Artikel berkaitan: Kerajaan Terengganu tetap mahu gabungan UMT-UniSZA dikaji

Malah, katanya, keputusan ini juga tidak membantutkan perkembangan dan usaha pembangunan pelajar-pelajar yang telah dilaksanakan serta bakal dilaksanakan di universiti terbabit.

Dalam masa yang sama, CUEPACS berharap kerajaan pada masa akan datang terus mendengar suara dan pandangan semua pihak terutama pemegang taruh dalam setiap keputusan dan perancangan yang mahu dilaksanakan. – MalaysiaGazette

Penggabungan UMT, UniSZA tidak diteruskan