Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju untuk membenarkan kapasiti penumpang dalam sesebuah kenderaan mengikuti muatan tempat duduk.

Persetujuan itu dicapai menerusi satu mesyuarat yang diadakan pagi tadi, kata Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurutnya, kerajaan sudah mewartakan Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan Nombor 6 Pindaan 2020).

“Peraturan itu antara lain membabitkan penumpang bagi kenderaan persendirian yang membolehkan ia dibawa mengikut kapasiti kenderaan masing-masing dikawal mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Bermakna jika kapasiti empat penumpang maka seorang pemandu campur tiga penumpang tetapi bagi kenderaan pelbagai guna (MPV) ia merangkumi seorang pemandu dan enam penumpang, maksimum tujuh orang.

”Ia akan berkuat kuasa esok,” katanya pada sidang media harian perkembangan terkini Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Ismail Sabri berkata, mereka yang menaiki kenderaan melebihi lima tempat duduk boleh memuatkan lebih empat individu dengan syarat ia mengikut kapasiti yang ditetapkan.

Bagaimanapun katanya, syarat lain masih kekal iaitu mereka mesti daripada ahli keluarga yang tinggal bersama.

Dalam perkembangan lain, beliau menegaskan, kerajaan tidak akan tunduk kepada tuntutan pembela Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).

Tegasnya, tindakan menahan dan menyaring PATI daripada Covid-19 akan diteruskan bagi memastikan wabak itu dapat dikawal dan tidak terus menular dalam kalangan rakyat.

Katanya, tindakan tegas kerajaan itu bertujuan menjaga serta memastikan kepentingan dan keselamatan umum, khususnya rakyat yang majoriti patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Walau apa pun desakan daripada kumpulan ini kepada kerajaan, kita tidak akan tunduk kepada kehendak mereka kerana tindakan kita adalah untuk menjaga kepentingan dan kesihatan rakyat,” tambah beliau. – MalaysiaGazette