KUALA LUMPUR – Datuk Mohd Khairul Adib Abd Rahman dan Chester Voo Chee Soon, masing-masing dilantik sebagai Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) yang baharu.

Pelantikan mereka berkuatkuasa 1 Jun ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, pelantikan Mohd Khairul mengikut Akta Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia 2017 [Akta 788] di bawah Seksyen 5(1) manakala pelantikan Voo pula mengikut Seksyen 21 selepas disyor dan dipertimbangkan oleh CAAM.

Mohd Khairul merupakan seorang penjawat awam profesional yang telah berkhidmat selama lebih tiga dekad.

Ketika ini beliau bertugas sebagai Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Malah, sebelum itu beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan.

Manakala Voo pula merupakan seorang juruterbang di sebuah syarikat penerbangan terkemuka dengan memiliki pengalaman yang luas dalam industri penerbangan.

Beliau telah berkhidmat di beberapa buah syarikat penerbangan dan tugas terakhir yang beliau galas adalah sebagai pengarah operasi penerbangan di sebuah syarikat penerbangan domestik dan mempunyai pengalaman luas dalam
kedua-dua sektor swasta dan penerbangan awam.

”Saya yakin kedua-dua mereka ini akan banyak membantu kerajaan meningkatkan kecekapan serta keselamatan penerbangan awam sehingga mencapai kelas dunia dalam industri penerbangan.

”Antara tugas utama yang sedang kita hadapi bersama adalah usaha mengembalikan status penarafan dunia Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) ke Kategori 1, sepertimana pencapaian kita pada tahun 2003 lalu,” kata Ka Siong. – MalaysiaGazette