Suspek mengaku bersalah memaki 'polis babi' dan cuba menghalang polis membuat pemeriksaan dituduh dan dikenakan hukuman denda dan penjara 7 hari di Majistret Selayang hari ini.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki mengaku bersalah memaki hamun polis sebagai ‘babi’ di Mahkamah Majistret Selayang hari ini.

Tindakan itu berlaku ketika dia menghalang polis daripada menahan dalam kejadian pda 25 Mei lalu.

Tertuduh, Mohd Azuan Rahim membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhannya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan pagi ini.

Tertuduh dibawa ke mahkamah dengan kenderaan polis dengan berbaju kemeja-T berwarna merah jambu.

Tertuduh berusia 34 tahun didakwa melakukan kesalahan itu pada 25 Mei lalu jam lebih kurang 1 pagi di Persimpangan Jalan SJ 26, Taman Selayang Jaya, Gombak.

Mengikut fakta kes, Mohd Azuan didakwa dengan niat menghalang penjawat awam iaitu Asisten Superintendan Che Zaili B. Che Zakaria dalam menjalankan tugas awamnya.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu yang boleh dihukum di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum tiga bulan atau denda yang boleh sampai RM1,000 atau denda atau kedua-duanya.

Majistret Nik Mohd Fadli bagaimanapun menjatuhkan hukuman penjara seminggu dan denda RM1,000 terhadap tertuduh dan penjara tiga bulan sekiranya gagal menjelaskan bayaran denda.

Kelmarin, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawi telah mengesahkan penahanan dua lelaki iaitu seorang juruteknik elektrik dan pembuat cincin yang memaki poli sebagai ‘babi’ dan cuba melepaskan diri semasa polis cuba melakukan pemeriksaan semasa rondaan di taman perumahan Selayang Jaya.

Hasil pemeriksaan terhadap kedua-dua suspek, polis mendapati pembonceng motosikal memiliki dua paket dadah disyaki syabu sebelum memaki polis dengan perkataan ‘polis babi’ dan cuba melepaskan diri. -MalaysiaGazette