Suasana di Kampung Muhibbah pada Program Ziarah Ramadan Malaysia Gazette di Jalan Sungai Besi, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 23 MEI 2020

KUALA LUMPUR – Dalam kepesatan pembangunan Kuala Lumpur tidak dinafikan Kampung Muhibbah di Sungai Besi yang terletak kira-kira 10 kilometer dari ibu kota turut menerima tempiasnya.

Saban hari ada saja projek mega dibangunkan mengelilingi pekan Sungai Besi ini sekali gus mengubah landskap ekonomi kawasan sekitar.

Walaupun jalan masuk ke sana agak tersorok, kampung kecil di tengah bandar raya itu menyimpan 1,001 sejarah kerana terletak di kawasan lombong bijih besi paling dalam di Malaysia pada era 30-an dulu.

Sebelum ini, Kampung Muhibbah menjadi tumpuan masyarakat setempat merupakan sebuah perkampungan pelbagai kaum seperti Melayu, Cina dan India sehingga nama muhibah diberikan kepada kampung itu.

Suasana kanak-kanak di Kampung Muhibbah pada Program Ziarah Ramadan Malaysia Gazette di Jalan Sungai Besi, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 23 MEI 2020

Namun melewati waktu yang pantas, daripada lebih 50 keluarga yang menetap sebelum ini, kini hanya tinggal 13 keluarga sahaja.

Sebahagian kampung berkenaan sudah dirobohkan dan dibina pembinaan projek Transit Aliran Massa (MRT) manakala penduduk kampung yang terlibat berpindah ke PPR Indah Permai dan PPR Sungai Besi di kawasan berhampiran.

Kesempatan meninjau Kampung Muhibbah sempena Program Jejalah Ramadan MalaysiaGazette baru-baru ini membuatkan kita berasa seolah-olah di kampung halaman.

Jalan masuk yang kecil dan sempit perlu diredahi sebelum bertemu suasana kampung yang mempersonakan dengan saujana mata memandangkan.

Suasana di Kampung Muhibbah pada Program Ziarah Ramadan Malaysia Gazette di Jalan Sungai Besi, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 23 MEI 2020

Kawasan sekeliling dilitupi pokok-pokok kelapa selain penduduk masih melakukan aktiviti bercucuk tanam seperi pokok limau purut, kunyit dan kari.

Malah haiwan ternakan seperti ayam kampung menambah keceriaan apabila berkokok tidak henti-henti.

Itulah ‘penangan’ Kampung Muhibbah walaupun hanya didiami 13 keluarga namun mereka menikmati cara hidup berjiran seperti di kampung kerana memiliki hubungan yang erat kerana saling berkunjung pada masa lapang.

Bagi penduduk terawal di situ, Mardiah Abdul Karim, 63, mengakui dia dan keluarga seronok menetap di kampung itu walaupun berada di tengah-tengah bandar.

Penduduk, Mardiah Abdul Karim yang menerima bantuan keperluan asas makanan dan sumbangan bagi persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri pada Program Ziarah Ramadan Malaysia Gazette di Kampung Muhibbah, Jalan Sungai Besi, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 23 MEI 2020

Ibu kepada lima anak yang tinggal sejak 34 tahun itu memberitahu, suasana kampung menjadi tarikan utama untuk kekal walaupun ramai jiran lain yang sudah berpindah.

“Saya sudah mohon rumah PPR. Kalau kena pindah, kami pindahlah. Lagi pun ini bukan tanah kami. Cuma sedih nanti untuk tinggalkan kampung ini.

“Bukan apa, rumah atas tanah, senang bercucuk tanam dan jiran pun semua baik dan mesra,” katanya yang tinggal berlima di rumahnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Gazette, Noraini Abd Razak (kanan) bersama kakitangan Malaysia Gazette turun padang bagi menyampaikan bantuan keperluan asas makanan dan sumbangan bagi persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada golongan yang memerlukan pada Program Ziarah Ramadan Malaysia Gazette di Kampung Muhibbah, Jalan Sungai Besi, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 23 MEI 2020.

Sementara itu, sempena program Jelajah Ramadan MalaysiaGazette itu, semua keluarga tersebut menerima sumbangan barang dapur antaranya daging ayam, cili kering, santan, bawang, beras nasi himpit, kordial, minyak masak dan juga wang raya.

Turut diterimanya adalah telekung wakaf sumbangan D’or Rue Sdn. Bhd.. menerusi Projek Telekung Wakaf Siti Aishah.

Sumbangan yang disampaikan oleh Ketua Pengarang MalaysiaGazette, Noraini Abd Razak melibatkan 13 keluarga yang tidak. – MalaysiaGazette