MINNEAPOLIS – Gempar sejak beberapa hari lalu di Amerika Syarakat (AS) mengenai insiden  ‘kekejaman’ segelintir polis terhadap golongan Afrika-Amerika.

Ini berikutan kejadian kematian lelaki Afrika-Amerika tidak bersenjata George Floyd baru-baru ini.

Agensi melaporkan, salah seorang daripada polis yang mengakibatkan kematian Floyd telah ditahan atas tuduh membunuh semalam.

Anggota itu, Derek Chauvin salah seorang daripada empat anggota polis dipecat selepas tersebar rakaman video menunjukkan Floyd yang digari terbaring di atas jalan raya.

Chauvin juga dilihat menekankan lututnya pada leher lelaki itu selama sekurang-kurang lima minit, Isnin lalu.

Insiden kematian Floyd mencetuskan tunjuk perasaan selama berhari-hari yang kadang-kadang menjadi ganas di Minneapolis dan bandar lain di AS sebagai membantah kekejaman polis terhadap warga Afrika-Amerika.

Sejak berlakunya protes yang kemudian bertukar menjadi rusuhan dengan tunjuk perasaan masyarakat umum terhadap sikap polis, hampir beratus-ratus kedai telah dirosakkan malah  sebuah balai polis dibakar.

Pendakwa Raya County Hennepin, Mike Freeman mengesahkan penahanan Chauvin kepada pemberita hari ini.

Dalam pada itu, Senator Minnesota, Amy Klobuchar memuji tindakan menahan Chauvin yang disifatkan sebagai langkah pertama ke arah keadilan supaya insiden seperti ini dapat dibendung pada masa hadapan.

Dalam sebuah video tular Isnin lepas, Floyd merayu untuk dilepaskan namun anggota polis terus menekan lehernya sehingga meninggal dunia.

“Tolong, tolong, saya tak boleh bernafas. Tolong benarkan saya berdiri,” rayu Floyd kepada seorang anggota polis yang menekan lehernya dengan lututnya.

“Saya tak boleh bernafas. Tolong, lutut pada leher saya ini, perut saya sakit. Leher saya sakit. Tolong, tolong. Saya tidak boleh bernafas,” rayunya.

Mangsa juga dilihat tercungap seketika kemudian, lelaki kulit hitam berusia 46 tahun itu diam dan tidak bergerak.

Floyd yang merupakan seorang peguam sivil yang ditahan kerana menyerupai seorang suspek kes pemalsuan itu meninggal dunia dalam keadaan menyedihkan selepas rayuannya tidak langsung diendahkan.

Kata-kata terakhir mangsa yang menyedihkan itu lantas diolah menjadi puisi dengan kematiannya benar-benar memberi kesan kepada ramai pihak.

Keadaan juga tidak terkawal di Minnesota sehingga pengisytiharan darurat terpaksa dilakukan oleh pihak berkuasa dengan kebanyakan masyarakat umum turun ke jalanan melakukan protes ganas. –MalaysiaGazette