Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini berikutan pasaran menerima berita mengenai prospek penurunan Petronas, selain aktiviti pengambilan untung menjelang hujung minggu.
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dijangka terus diniagakan berhati-hati minggu depan apabila sentimen pasaran dipengaruhi sebahagian besarnya oleh faktor-faktor luaran terutamanya berikutan peningkatan ketegangan antara Amerika Syarikat (AS)-China.

Seorang peniaga berkata, keputusan daripada sidang media Presiden AS Donald Trump pada Jumaat akan menjadi pemangkin utama bagi pasaran ekuiti global kerana ia akan menentukan prospek pemulihan ekonomi global.

Ketua Pakar Strategi Pasaran Global AxiCorp Stephen Innes berkata, reaksi negatif atau positif daripada kenyataan Trump berkaitan isu di Hong Kong dan sama ada harga minyak akan terus meningkat akan menjadi tumpuan pasaran pada minggu depan.

Di dalam negara, katanya, pasaran mencatatkan prestasi yang sangat baik semasa minggu yang baru berakhir ini apabila inisiatif-inisiatif daripada kerajaan dan rangsangan (penurunan kadar) Bank Negara Malaysia membantu ketika ekonomi dibuka semula.

“Dengan kemungkinan satu lagi penurunan kadar, sentimen akan mendapat lagi rangsangan sekiranya jumlah kes COVID-19 kekal mendatar di seluruh dunia dengan pembukaan semula ekonomi.

“Pasaran dijangka berada dalam jajaran dagangan baharu antara 1,450 dan 1,475 pada minggu depan,” katanya kepada Bernama.

Semasa minggu dagangan singkat yang baru berakhir ini, ketegangan antara Washington dan Beijing semakin memburuk, menyebabkan ekuiti global jatuh menjunam dan menjejaskan harapan pemulihan ekonomi global di tengah-tengah perkembangan terkini berhubung vaksin COVID-19, ditambah dengan pembukaan semula aktiviti perniagaan.

Pasaran tempatan ditutup pada Isnin dan Selasa sempena cuti umum sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, indeks utama meningkat 37.49 mata untuk ditutup kepada 1,473.25.

Di papan skor, Indeks FBM Emas naik 286.73 mata kepada 10,463.85, Indeks FBMT 100 meningkat 287.89 mata kepada 10,313.21 dan Indeks FBM Emas Shariah melonjak 404.88 mata kepada 12,025.22.

FBM 70 meningkat 500.04 mata kepada 13,195.2 dan Indeks FBM ACE naik 232.02 mata kepada 5,619.81.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 5.67 mata kepada 130.06, Indeks Perladangan  meningkat 62.32 mata kepada 6,785.17 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 102.01 mata kepada 12,482.74.

Bagi minggu yang baru berakhir ini, jumlah dagangan mingguan turun kepada 23.18 bilion unit bernilai RM19.53 bilion daripada 41.29 bilion unit bernilai RM21.53 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama turun kepada 13.58 bilion saham bernilai RM16.95 bilion berbanding 30.09 bilion saham bernilai RM18.77 bilion.

Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 1.71 billon unit bernilai RM521.91 juta berbanding 3.16 bilion unit bernilai RM643.55 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE jatuh kepada 7.88 bilion saham bernilai RM2.06 bilion berbanding 8.02 bilion saham bernilai RM2.11 bilion. – MalaysiaGazette