Pesta Yulan Bukit Mertajam yang mempunyai sejarah 135 tahun mungkin dibatalkan buat pertama kalinya disebabkan wabak COVID-19.

BUKIT MERTAJAM – Pesta Yulan Bukit Mertajam yang mempunyai sejarah 135 tahun mungkin dibatalkan buat pertama kalinya disebabkan wabak COVID-19.

Pengerusi penganjur aktiviti keagamaan yang juga dikenali sebagai Pesta Hantu Lapar itu, Datuk Peng Yong Qin berkata, keputusan muktamad mengenai penganjuran perayaan itu akan dimuktamadkan pada 15 Julai.

“Sekiranya kerajaan membenarkan penganjuran, maka ia akan diadakan secara kecil-kecilan dengan mengikuti semua garis panduan yang ditetapkan,” katanya dipetik Kwong Wah Yit Poh.

Jelasnya, upacara berskala kecil bermaksud penganut boleh menyembah, tetapi tidak akan ada perarakan seperti yang biasa dilakukan.

Sementara itu, Exco yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal agama bukan Islam di Pulau Pinang, Chong Eng berkata, pertubuhan agama perlu mengambil kira aspek kesihatan dan sambutan yang meriah tidak dibenarkan.

“Walaupun sudah tidak berlaku kes jangkitan baharu di Pulau Pinang, tetapi ini tidak bermakna negeri ini akan kekal ‘hijau’ selama-lamanya,” katanya.

Beliau berkata, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional turut mengumumkan bahawa mereka yang berumur 70 tahun ke atas dan di bawah 12 tahun tidak boleh menyertai aktiviti keagamaan di tempat beribadat. – MalaysiaGazette