Khairul Rizam Abu Samah
Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Khairul Rizam Abu Samah
KUALA LUMPUR – Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Wilayah Persekutuan (GPMSWP) melahirkan rasa dukacita dengan kemalangan yang diakibatkan oleh pemandu mabuk sehingga menyebabkan kematian dan kecederaan orang awam yang makin menjadi-jadi sejak mutakhir ini.
Seksyen 44(1) A Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) memperuntukkan bahawa pesalah di kalangan pemandu mabuk jika disabitkan kesalahan boleh membawa hukuman penjara selama tempoh tidak kurang daripada 3 tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun dan didenda tidak kurang daripada RM8,000 dan tidak lebih dari RM20,000.

Walaupun hukuman di bawah Akta 333 ini telah dipinda seperti di atas pada 1999, namun perkembangan terkini jelas menunjukkan angka kes yang menaik dan trend ini amat membimbangkan rakyat, apatah ia melibatkan kehilangan nyawa serta risiko produktiviti negara berkurangan atas asbab kehilangan jiwa.

Adalah tidak wajar ketika kemelut ini sedang tular di media massa, keluar pual kenyataan tentang sekiranya arak ingin diharamkan maka sewajarnya sekolah tahfiz juga ditutup.

Atas skala ini, kami dengan tegas mendesak agar isu kemalangan lantaran mabuk disebabkan pengaruh alkohol dari arak ini ditangani dengan meminda hukuman dalam konteks undang-undang sedia ada kepada hukuman mati atau penjara seumur hidup.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa juga digesa mengambil cakna tentang isu ini dengan cara meningkatkan kesedaran belia di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur tentang bahaya pengambilan alkohol.

Ini boleh dilakukan dengan penguatkuasaan undang-undang sedia ada daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) sama ada menghadkan aktiviti dan masa penjualan arak, mengecilkan saiz penjualan alkohol dengan cara penutupan dan pemusatan kedai alkohol, limitasi kerangka operasi pusat hiburan.
Kementerian Wilayah Persekutuan boleh bekerjasama dengan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk sesi dialog dan tindakan tuntas memberi pemahaman kepada belia meliputi semua agama.

Untuk langkah jangka panjang, sudah tiba masanya pihak kerajaan menangani isu ini secara holistik untuk mengatasi kesenjangan akta sedia ada.

Perundangan di peringkat Persekutuan perlu diberi perhatian dan konsensus serius supaya ianya selari dengan perundangan pihak PBT.

Sememangnya Malaysia adalah sebuah negara demokrasi yang meraikan juzuk pandangan akan tetapi setiap butir kata dan frasa tulisan yang dimainkan jemari di media sosial akan mengundang impak dan implikasi yang dahsyat untuk sebuah negara majmuk berbilang kaum seperti Malaysia.

Untuk itu, akta sedia ada perlu ditambah dengan pengkhususan undang undang khas bagi mengawal kebebasan melontarkan pandangan bersifat bertentangan dengan perintah agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan, devian dan menyeleweng daripada moral dan sivik.

Kenyataan menyamakan kes di sekolah tahfiz dan isu kehilangan jiwa disebabkan arak adalah satu pandangan yang dangkal malah mengguris hati ramai Bumiputera di Malaysia kerana lencongan kenyataan itu membias kepada sentimen pendidikan berteras al-Quran yang menjadi sumber manhaj utama bagi orang Islam.

Ini sekaligus memberi cerminan mencabar institusi di-Raja yang menaungi urusan hal ehwal agama Islam sedangkan isu yang patut diulas hanyalah bersifat orientasi kepada kaedah mengatasi masalah kemalangan jiwa disebabkan mabuk berpunca daripada pengaruh arak.

Justeru, GPMSWP mencadangkan agar satu jawatankuasa khas yang terdiri daripada beberapa kementerian yang berkaitan dan melibatkan juga NGO-NGO untuk sebuah kolektif pandangan bagi diangkat sebagai usul dan dasar baru bagi dipertimbangkan sebagai Undang Undang Khusus Kemalangan Meragut Nyawa Akibat Mabuk berpunca dari pengambilan alkohol.

Dengan penuh komitmen dan sanitasi jiwa, GPMSWP ingin mengambil semangat bermaafan di Aidilfitri ini sebagai sebuah elementasi semangat kebersamaan bagi kita semua mencari solusi demi keamanan dan kesejahteraan belia khususnya di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang menjadi nadi dan hab kemajuan memacu kegemilangan Malaysia tercinta seterusnya komitmen perpaduan yang semakin pudar muasir kini dikembalikan dalam llandasan asalnya.

KHAIRUL RIZAM BIN DATO ABU SAMAH
Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Wilayah Persekutuan