Ahmad Zahid bersama Najib di kediaman Presiden UMNO malam kelmarin.

TERMA latin vox populi bermaksud suara majoriti rakyat, dan dalam konteks demokrasi adalah terjemahan sokongan rakyat. Begitu jugalah demokrasi dalam UMNO, undian majoriti perwakilan mengangkat seseorang pemimpin yang menjadi wakil dan pemegang amanah ahli parti.

Harus dibezakan dengan sistem autokratik dan dictator, di mana kuasa berpusat dan pemimpin bertindak sewenang-wenangnya. Tuntasnya, pemimpin besar dan kecil dalam parti tidak boleh bertindak sesuka hati hanya demi kepentingan minoriti dan diri sendiri, sedangkan parti dan rakyat wajib diutamakan.

Institusi Presiden

Tular di media sosial dan arus perdana, wujud gerakan hendak melantik Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN) menggantikan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, sedangkan sejak BN wujud pada 1974, secara persetujuan atau konvensyen dan amalan, Presiden UMNO secara automatik akan Pengerusi BN.

Dari aspek lain, percaturan oleh pihak tertentu ini dilihat sebagai satu percubaan untuk memperkecilkan Institusi Presiden UMNO. Terma Institusi Presiden inipun dibangkitkan oleh Najib pada 2016 kepada ahli UMNO, menekankan konsep supaya ahli parti mempertahankan presiden yang memegang jawatan sebagai institusi, bukan atas kapasiti individu.

Zahid “Orang UMNO”

Selain legitimasi Ahmad Zahid sebagai presiden, kesetiaan beliau sebagai orang UMNO tidak perlu diperdebatkan. Beliau menghadapi dua episod besar yang menggoncang tiang seri UMNO, pertama pada 1998, menerima tekanan ketika memimpin Pergerakan Pemuda UMNO, namun beliau tetap setia bersama parti.

Kedua, pada 2018, pasca PRU-14, beliau mengambil risiko memimpin UMNO, sedangkan tugasnya amat berat lantaran kehilangan kuasa memerintah dan menerima pelbagai tekanan. Sejujurnya dua episod ini menterjemah keikhlasan beliau sebagai orang UMNO, dan beliau masih kekal bersama parti, bukan sebaliknya.

Memimpin dan mendamaikan

Selari dengan kematangan, gaya kepimpinan beliau kelihatan berdasarkan wisdom dan kebijaksanaan. Amat berbeza dengan kelantangan 20 tahun dahulu. Namun begitu, ada hasil dan impaknya. Beliau tidak melatah, beliau memimpin dengan hikmah dan kebijaksanaan. Hasilnya UMNO kembali mengukuh pasca PRU-14.

Buktinya, ICERD menghimpun umat Islam Malaysia dengan tautan hati, Muafakat Nasional (MN) meruntun emosi dan mengukuh paksi kuasa Melayu-Islam, kompromi Perikatan Nasional (PN) yang akhirnya menumbangkan Pakatan Harapan (PH) – semua bebenang usaha ini tertenun menjadi lembaran hala tuju Ahmad Zahid selaku presiden dan menafikan dakwa dakwi beliau tiada hala tuju. Nyatanya, beliau membawa gaya kepimpinan yang mendamaikan dan menyelesaikan masalah.

Kompromi BN

Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai adalah manifestasi kebijaksanaan Ahmad Zahid selaku pemimpin dalam masyarakat berbilang kaum. Walaupun tekanan diberikan supaya meletakkan calon UMNO, namun akhirnya calon MCA dipertaruhkan dan ini membawa kejayaan kepada BN.

Maka Ahmad Zahid memperlihatkan kebolehan beliau untuk menyesuaikan keputusan dengan keadaan dan menenangkan pihak yang berpotensi untuk pertikai. Apakah ini tidak cukup sebagai bukti bahawa beliau mampu menjadi Pengerusi BN yang efektif?

Menamatkan era war lord dan broker kuasa

Sehingga catatan ini ditulis, pada 2 Jun 2020, Najib dan Ahmad Zahid telah bertemu, bersalaman Hari Raya. Maka cakap-cakap yang seolah melaga kedua pemimpin ini adalah kerja war lord and power broker/broker kuasa tertentu.

Era war lord dan power broker ini perlu dinoktahkan, kembalikan susuk sebenar suara rakyat suara keramat!

Baiklah runding dan bincang. Mahal harga tempur dan perang, mungkin ada si kitul yang kenyang. Ingat pesan leluhur:

Alu bertingkah dengan lesung

Padi tumbah ayam yang kenyang

Kita bertelagah sama sekampung

Asyik berbantah orang lain senang. – MalaysiaGazette

Anuar Basiran

 

Penulis, Anuar Basiran adalah Naib Ketua UMNO Bahagian Sepang

2 Komen

  1. Sorang2 bnyak kes kat mahkamah.. Pelik mcmana rakyat atau ahli tak nampak…. Akhir zamann

  2. Woi Datuk Que…Jangan lpa Guan Eng gugur kes rasuah terowong oleh Tommy Thomas, Shafie Afdal pun sama; Mahathir toksa cerita laaaa berderet termasuklah skandal Forex jd No Further Action..Nuar? tu bekas banduan..cam mana rakyat dan ahli PH tak nampak yer??

Comments are closed.