Ahmad Idham.

KUALA LUMPUR – Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) mengumumkan pelantikan semula Ahmad Idham Ahmad Nadzri sebagai Ketua Pegawai Eksekutif agensi itu yang baharu berkuatkuasa hari ini sehingga 6 Jun 2022.

Pengerusi FINAS, Zakaria Abdul Hamid berharap pelantikan itu akan menyaksikan FINAS akan terus menjana kecemerlangan sebagai sebuah badan yang memaju, menggalak dan memelihara kemajuan industri perfileman tanah air.

Sebelum ini, pengarah filem itu direhatkan daripada tugasnya selama sebulan pada Disember tahun lalu sebelum meneruskan tugasnya semula sebagai Ketua Pegawai Eksekutif pada Januari lalu.

FINAS kemudian memaklumkan Ahmad Idham meninggalkan jawatannya pada 10 Mac lalu selepas memohon agar kontraknya dipendekkan atas sebab-sebab peribadi.

Artikel berkaitan: Ahmad Idham mohon pendek perkhidmatan CEO Finas

Sementara itu, FINAS turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada kerajaan di atas keprihatinan terhadap pembangunan semula sektor ekonomi industri kreatif negara yang telah terjejas akibat penularan wabak Covid-19 dengan mendapatkan insentif dan dana.

“Sehubungan dengan itu, FINAS juga menyambut baik dan berterima kasih di atas peruntukan sebanyak RM225 juta sebagai insentif rangsangan ekonomi kepada industri ini melalui Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek yang telah diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

“Beberapa program dan kemudahan kewangan untuk menjana semula industri kreatif negara akan dikawal selia oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Saifuddin Abdullah yang pastinya akan memberi manfaat kepada pemegang taruh industri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. – MalaysiaGazette