Abdul Hamid Bador

PUTRAJAYA – Polis memberi jaminan kestabilan di negara ini berada dalam keadaan yang baik dan terkawal walaupun berlaku kemelut dalam politik tanahair.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pada masa ini pihaknya memberikan tumpuan penuh perhatian terhadap usaha menangani penularan wabak Covid-19 di negara ini.

Beliau berkata, hampir 70 peratus kekuatan pasukan itu digunakan untuk menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan ketika ini sejak daripada fasa pertama hingga ke hari ini.

“Yang penting sekali keadaan dalam negara aman dan orang ramai boleh menjalankan kegiatan harian. Itu jaminan daripada saya,” katanya kepada media selepas Majlis Penyerahan Kenderaan Peronda PDRM di sini, hari ini.

Abdul Hamid berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai situasi semasa negara ekoran berlakunya situasi tidak menentu terhadap politik tanahair sejak kebelakangan ini.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai langkah PDRM melaksanakan Prosedur Operasi Standard (SOP) terhadap tahanan reman, Abdul Hamid memberitahu, pihaknya sentiasa berbincang tentang perkara itu dengan pihak-pihak yang berkenaan.

Dengan mengambil contoh kes kejadian seperti penemuan mayat yang dilaporkan kepada pihaknya, polis menggunakan SOP tertentu dalam mengurus kes seperti itu.

Kata beliau, pegawai yang mengurus mayat tersebut perlu menggunakan kelekapan sesuai seperti memakai pakain perlindungan diri (PPE) dan sebagainya.

“Saya telah berbincang dengan Ketua Pengarah Penjara dan beliau meminta supaya PDRM jika hendak menghantar mana-mana tahanan ke penjara perlu mengatur dengan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) dikenakan pemeriksaan kesihatan,” katanya. – MalaysiaGazette