Bangunan Jabatan Peguam Negara. foto HAZROL ZAINAL, 02 NOVEMBER 2018.

SUDAH sampai masanya kita mempertimbangkan cadangan bagi memisahkan pejabat Pendakwa Raya dengan Jabatan Peguam Negara. Seperti yang sedia maklum, pada masa kini pihak Peguam Negara dan Pendakwa Raya boleh di ibaratkan sebagai satu entiti yang sama seperti yang termaktub dibawah Perlembagaan Persekutuan iaitu, undang-undang tertinggi dalam negara kita. Perkara 145(2) dan (3) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan dengan jelas mengenai perkara ini. Perkara 145 (2) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa menjadi kewajipan Peguam Negara menasihati Yang di-Pertuan Agong atau Jemaah Menteri atau mana-mana Menteri mengenai apa – apa perkara undang-undang, dan melaksanakan apa-apa tugas lain yang bersifat undang-undang, yang dari semasa ke semasa dirujukkan atau ditugaskan kepadanya oleh Yang di-Pertuan Agong atau Jemaah Menteri, dan menunaikan fungsi yang diberikan kepadanya oleh atau di bawah Perlembagaan ini atau mana- mana undang- undang bertulis yang lain. Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan juga memperuntukkan bahawa peguam Negara hendaklah mempunyai kuasa yang boleh dijalankan menurut budi bicaranya, untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan, selain prosiding di hadapan mahkamah Syariah, mahkamah anak negeri atau mahkamah tentera.

Sebarang undang-undang yang bertentangan dengan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan yakni memberikan kuasa mendakwa kepada pihak lain selain Peguam Negara adalah tidak sah dan terbatal. Ini jelas menunjukkan kepada kita kuasa besar yang dimiliki oleh Peguam Negara khususnya didalam proses pendakwaan. Kedudukan Peguam Negara selaku Pendakwa Raya disebutkan juga secara khusus dalam seksyen 376(1) Kanun Acara Jenayah. Beberapa kes mahkamah juga boleh dirujuk mengenai perkara ini seperti kes Long bin Samat lwn Pendakwa Raya (1974) 2 MLJ 152, dimana pihak mahkamah telah putuskan bahawa pihak Pendakwa Raya ada budi bicara menetapkan apa jua pertuduhan yang difikirkannya sesuai terhadap seorang tertuduh dan mahkamah tidak ada kuasa mengganggu kuasa budi bicara tersebut. Dalam kes itu, OKT (Orang Kena Tuduh) telah dituduh menyebabkan kecederaan dengan menggunakan senjata di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan, walaupun ada asas bagi dia dituduh dengan kesalahan menyebabkan kecederaan parah di bawah Seksyen 326 (yang membawa hukuman lebih berat jika disabitkan kesalahan). Pihak mahkamah memutuskan bahawa di bawah Perlembagaan Persekutuan, Peguam Negara ada budi bicara mengawal dan mengarah semua pendakwaan jenayah bukan setakat memulakan dan menjalankan mana-mana prosiding jenayah, bahkan juga memberhentikan prosiding yang telah dimulakannya.

Selain itu, mahkamah menegaskan ia tidak ada kuasa mempersoal kuasa budi bicara Peguam Negara itu, apatah lagi memaksa beliau memilih pertuduhan yang lebih berat sekiranya beliau memilih pertuduhan yang lebih ringan. Pada tahun 1991 di dalam kes Karpal Singh & Yang Lain v Pendakwa Raya [1991] 2 MLJ 544, pihak Mahkamah Agung telah dirujuk dengan persoalan undang- undang bagi memutuskan sama ada mahkamah mempunyai kuasa am yang sedia ada bagi mengawal prosesnya. Dalam kes ini, tertuduh telah dituduh di bawah Akta Polis 1967 kerana mengambil bahagian dalam perjumpaan di tempat awam tanpa mendapat kebenaran. Ketika menjawab persoalan undang-undang itu secara negatif, pihak mahkamah menekankan bahawa kuasa perlembagaan Peguam Negara dalam Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan adalah muktamad dan tidak boleh disoal atau digantikan oleh kuasa budi bicara mahkamah dan terpulanglah kepada Peguam Negara dengan memandang kepada keadaan khusus terbabit kes berkenaan.

Kedudukan pejabat Pendakwa Raya yang berada di bawah Jabatan Peguam Negara seperti yang diamalkan pada masa kini boleh menyaksikan konflik kepentingan. Pada satu pihak, Peguam Negara sepatutnya bertindak demi kepentingan awam dalam membuat keputusan untuk mendakwa kes-kes jenayah tetapi pada pihak lain, beliau juga adalah ketua penasihat undang-undang kepada kerajaan. Ini akan mewujudkan konflik kepentingan khususnya dalam kes-kes yang membabitkan kakitangan atau pegawai tertinggi kerajaan.

Oleh yang demikian, adalah wajar sekiranya cadangan untuk memisahkan Pejabat Pendakwa raya dari Jabatan Peguam Negara dilihat secara serius oleh pihak kerajaan bagi memastikan sistem keadilan dalam negara tidak diragui serta mengundang persepsi negatif dari orang ramai. Bagi memastikan cadangan ini dapat dilaksanakan, kerajaan baru akan datang boleh membentuk satu jawatankuasa khas bagi menilai cadangan ini dengan teliti dan segera. Jawatankuasa terbabit perlu dianggotai oleh kalangan mereka yang berkepakaran dalam stuktur undang-undang sedia ada dalam negara kita serta Perlembagaan Persekutuan.

Oleh: Dr. Muzaffar Syah Mallow,
Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU),
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

1 Komen

Comments are closed.