PUTRAJAYA – Orang-ramai disarankan supaya merujuk senarai hospital dan klinik yang menyediakan fasiliti saringan Covid-19 yang telah diluluskan Kementerian Kesihatan (KKM) sebagai langkah mengelak daripada ditipu.
Nasihat itu menyusul dari Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah susulan tangkapan lima lagi suspek warga Bangladesh yang terlibat dalam pemalsuan dokumen keputusan negatif ujian Covid-19 di ibu negara baru-baru ini.
Menurut beliau, sehingga kini, terdapat lebih 50 hospital dan klinik swasta yang dilulus dan diiktiraf KKM untuk menyediakan fasiliti saringan Covid-19 dan keputusannya kepada orang awam yang memerlukan.
“Kita ada senarai semua hospital dan klinik rawatan serta saringan Covid-19. Orang ramai diminta rujuk pada portal CPRC (Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan) KKM.
“Saya juga menyeru sekiranya sesiapa rasa ragu-ragu atau sangsi berlaku penipuan atau dikesan pemalsuan dokumen keputusan negatif ujian Covid-19 segera melaporkan kepada pihak berkuasa dan KKM,” katanya dalam sidang media situasi semasa Covid-19 di sini hari ini.
Noor Hisham berkata, perbuatan itu adalah satu kesalahan serius dan boleh diambil tindakan tegas di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Pagi tadi, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim memaklumkan penahanan lima lelaki warga Bangladesh kerana disyaki terlibat dalam sindiket jenayah pemalsuan dokumen keputusan negatif saringan Covid-19 yang menyasarkan warga asing dalam satu serbuan baru-baru ini.
Dalam pada itu, Noor Hisham turut mengulas mengenai satu insiden di pasar borong Xinfadi, Beijing yang terpaksa ditutup hari ini berikutan 45 peniaga di pasar tersebut disahkan positif apabila Covid-19 dikesan di papan pemotong yang digunakan oleh penjual ikan salmon.
Menjawab pertanyaan wartawan dalam isu itu, beliau berkata, ia berlaku disebabkan oleh ketidakpatuhan kebersihan oleh peniaga di kawasan berkenaan sebagai punca.
“Sebab itu kita tekankan isu kebersihan diri perlu diutamakan sentiasa dimana jua anda berada atau terlibat dalam apa jua aktiviti sekali pun.
“Kalau guna board (papan pemotong) yang tidak bersih ada kemungkinan jangkitan akan berlaku. Kita perlu mengingatkan semua orang supaya jaga kebersihan.
“Malahan Covid-19 telah mengajar kita untuk menjaga kebersihan diri dan sekarang ini kita mengharapkan rakyat mengamalkan kebersihan dan langkah pencegahan.
“Virus itu masih berada dalam komuniti dan walaupun sudah ada sinar cahaya yang seolah-olah telah berjaya (memutuskan rantaian Covid-19), kita belum sampai ke penghujung lagi maka rakyat wajib mengambil pendekatan serius dalam menjaga kebersihan diri dan amalan norma baharu,” tegasnya.-MalaysiaGazette